Invest Selangor anjur pameran aeroangkasa dunia

Iklan
Dari kiri, Dr Nor Fuad, Chang Khim dan Hasan pada pelancaran awal SAS 2021 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Isnin.

SHAH ALAM - Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) menerusi bahagian aeroangkasa khususnya, S-DAICO, akan menganjurkan Pameran Penerbangan Selangor 2021 (SAS 2021) yang akan diadakan di Subang SkyPark Regional Aviation Centre, Selangor bermula 12 hingga 14 Ogos 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azahari berkata, SAS 2021 dijangka menarik 5,000 pengunjung serta 30 pempamer daripada syarikat tempatan dan antarabangsa di samping menampilkan pameran pesawat statik, forum, hari terbuka bagi tujuan pendidikan.

Iklan
Iklan

Menurut Hasan, acara berkenaan akan mengetengahkan yang terbaik dalam aeroangkasa dan penerbangan dunia, sekali gus mewujudkan peluang perniagaan dan pelaburan berpotensi di peringkat domestik dan antarabangsa.

"SAS 2021 bertujuan menyediakan peluang berharga bagi prospek jaringan peringkat tinggi dan penembusan pasaran kepada peserta industri daripada pelbagai sektor termasuk subsektor helikopter, penerbangan am, penerbangan perniagaan dan komersial di Malaysia dan secara potensinya di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum itu, pelancaran awal pameran itu telah diadakan di Kuala Lumpur pada Isnin.

Majlis itu dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian dan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim. Turut hadir ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

Iklan

Beliau berkata, SAS 2021 yang bertemakan ‘Selangor, Hab Penerbangan Perniagaan dan Am ASEAN’ merupakan ekspo jaringan yang dirangka sebagai pemangkin untuk semua pihak berkepentingan yang relevan berdialog, berkongsi pengetahuan dan tawaran bagi merancakkan kembali industri ini dalam persekitaran pandemik Covid-19.

"Selangor dikenal pasti sebagai hab utama industri aeroangkasa dan penerbangan Malaysia dengan negeri ini menempatkan 62 peratus syarikat aeroangkasa dan lebih 20 institusi pengajian tinggi berkaitan dalam negara.

"Selangor dikenali sebagai kawasan pertumbuhan penerbangan dan aeroangkasa dengan dua lapangan terbang selain mencatatkan trafik udara yang amat tinggi, menjanjikan ekosistem paling kondusif. Malahan, ia menempatkan lebih 200 peserta berkaitan aeroangkasa dan penerbangan termasuk semua aktiviti antaranya perkhidmatan dan bahagian elektrik serta pembuatan komponen,” katanya.

Hasan berkata, industri itu sangat disokong oleh permintaan tinggi daripada peserta di rantau Asia Pasifik yang juga merangkumi 30 peratus aktiviti dan produk aeroangkasa dan penerbangan global.

"Industri penerbangan khususnya syarikat penerbangan di seluruh dunia menghadapi tekanan kewangan yang serius yang memaksa mereka mengurangkan kapasiti pada kadar amat ketara berikutan ketiadaan permintaan penumpang yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO) diwujudkan pada tahun 2020 berikutan kerajaan negeri menyedari keperluan untuk menggalakkan lagi industri itu.

"S-DAICO akan menyelaras dan memantau pertumbuhan serta pembangunan aeroangkasa Selangor serta penggalakkan berlandaskan Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor.

"Ia merupakan satu bahagian di bawah Invest Selangor yang berperanan sebagai sekretariat kepada Majlis Aeroangkasa Selangor dan bertanggungjawab terhadap penyelarasan, pelaksanaan, pengurusan dan pemantauan pembangunan dan penggalakkan industri tersebut.

Beliau berkata, Selangor menggariskan 30 perancangan tindakan di bawah Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor untuk dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri dalam usaha meletakkan negeri ini sebagai hab utama industri aeroangkasa di Asia Tenggara dengan menumpukan penyelenggaraan pembaikan dan baik pulih (MRO).