Nafas jamin bekalan benih padi mencukupi

Iklan

SHAH ALAM - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memberikan jaminan mampu membekalkan benih padi sah dari pelbagai varieti yang diperlukan pesawah untuk seluas 520,000 hektar kawasan penanaman padi di Semenanjung Malaysia.

Nafas memaklumkan, agensi itu memastikan benih padi sah yang diterima pesawah bukan sahaja berkualiti tetapi harga terkawal dan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran.

Iklan
Iklan

Menurut Nafas, mengikut rekod, stok benih padi sah yang telah disahkan oleh Jabatan Pertanian adalah sebanyak 9,000 tan metrik dan yang sedang dalam proses pengesahan adalah sebanyak 39,000 tan metrik.

"Jumlah berkenaan melebihi keperluan semasa iaitu 36,000 tan metrik bagi satu musim penanaman padi.

Iklan

"Pesawah di seluruh negara tidak perlu gusar terhadap kemampuan Nafas dalam memastikan bekalan benih padi sah adalah mencukupi untuk keperluan penanaman padi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Nafas berkata, sehingga 12 Mac, sebanyak 212,666 beg bersamaan 4253.32 tan metrik sudah diedarkan oleh ejen rasmi melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Semenanjung Malaysia.

Iklan

"Nafas menganggarkan anggaran keperluan benih padi sah dalam tempoh setahun adalah sebanyak 72,000 tan metrik bersamaan 3.6 juta beg untuk keluasan 520,000 hektar di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Nafas berkata, agensi itu memainkan peranan besar dalam memastikan industri padi negara dapat berkembang sekali gus memenuhi permintaan pasaran.

"Nafas juga komited memastikan benih padi sah yang diedarkan adalah berkualiti dan memastikan bekalan benih padi sah ada dalam pasaran dengan harga kurang RM35 per beg.

"Harga siling RM35 bagi setiap 20 kilogram yang telah ditetapkan kerajaan mampu mengatasi isu manipulasi harga,” katanya.

Nafas berkata, pelantikannya sebagai pemborong tunggal dalam pembelian benih padi sah ini dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk membanteras pelbagai isu dan permasalahan benih padi sah yang dialami pesawah sebelum ini.