Warga emas tak mengaku salah jolok anjing dengan buluh

Iklan
Ng Ah Leak, 75, didakwa mencederakan seekor anjing betina pada Oktober, tahun lepas.

BUTTERWORTH - Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan mencederakan seekor anjing betina pada Oktober, tahun lepas.

Ng Ah Leak, 75, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati secara tidak munasabah menjolok haiwan itu menggunakan sebatang buluh sepanjang lapan kaki sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian bawah mata sebelah kiri yang menyebabkan kesakitan dan penderitaan haiwan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam longkang belakang sebuah rumah di Taman Tanjung Indah, Butterworth pada jam 10.30 malam, 24 Oktober 2020.

Iklan

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 29 (1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Roziman Awang Tahrin dan tertuduh diwakili peguam Lim Jin Hoong dari Tetuan Kumar & Co.

Iklan

Mahkamah menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes dan tertuduh yang dilepaskan tanpa dikenakan sebarang jaminan, diwajibkan hadir. - Bernama