Malaysia komited perkukuh kerjasama dengan negara Komanwel lain
KUALA LUMPUR - Malaysia komited untuk berganding bahu dengan negara-negara Komanwel lain dengan memperkukuhkan kerjasama dalam beberapa bidang keutamaan. Wisma Putra dalam perutusan sempena Hari Komanwel 2021 hari ini menyatakan, bidang keutamaan itu terdiri daripada langkah mempromosi tadbir urus baik, menangani kesan sosial dan ekonomi akibat pandemik Covid-19, pembangunan lestari, isu-isu alam sekitar, belia, pendidikan serta pemerkasaan wanita.
"Pandemik Covid-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang melanda seluruh dunia, telah mengubah cara setiap individu dan organisasi beroperasi serta berfungsi."Ketika pandemik itu terus memberikan cabaran kepada seluruh negara Komanwel, Malaysia tetap berharap Komanwel akan menjadi lebih kukuh dalam memerangi pandemik itu menerusi perkongsian inovatif dan pendekatan baharu bagi melindungi kesejahteraan rakyat, terutama golongan yang paling berisiko,” katanya.