Mara sebagai agensi kejuruteraan sosioekonomi

Iklan
Mara memainkan peranan yang besar dalam memperkasakan agenda bumiputera.

Laksana transformasi keusahawanan dan pendidikan bumiputera sejak 55 tahun

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menerajui pembangunan bumiputera sejak 55 tahun dan berperanan sebagai agensi kejuruteraan ekonomi yang mencorakkan pelbagai transformasi dalam keusahawanan serta pendidikan bumiputera.

Mara dalam satu kenyataan berkata, setakat ini pihaknya telah membantu membangunkan seramai 1,189,555 usahawan.

Iklan
Iklan

"Ia terbukti apabila program dan fasiliti keusahawanan yang ditawarkan merangkumi latihan keusahawanan, kemudahan pembiayaan dan penyediaan premis perniagaan sentiasa mendapat permintaan yang tinggi daripada usahawan,” kata kenyataan tersebut di sini pada Isnin.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam bidang pendidikan pula, Mara terus mengorak langkah ke arah pengantarabangsaan melalui program yang ditawarkan seperti program dwi-sijil yang menawarkan kedua-dua kurikulum iaitu kurikulum Cambridge dan kurikulum kebangsaan menerusi International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) di MRSM.

Iklan

"Untuk mencapai matlamat menjadikan MRSM bertaraf dunia, Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM) memberi penekanan kepada kemahiran pembelajaran abad ke-21 merangkumi aspek kreativiti dan inovasi, pembelajaran melalui pengalaman, kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), komunikasi dan kolaboratif, kemahiran insaniah dan kemahiran subjek,” katanya.

Menurutnya, Mara juga menyediakan ekosistem lengkap bagi program di bawah Teknikal dan Vokasional (TVET) yang merupakan instrumen utama dalam melahirkan modal insan berkemahiran inovatif dan berdaya saing.

Iklan

"TVET Mara kini telah mencapai 53 tahun dan telah melahirkan seramai 649,338 graduan dengan kadar kebolehpasaran sebanyak 91 peratus.

"Selain itu, program pinjaman pelajaran Mara diwujudkan sejak tahun 1966 bagi memberi kemudahan sokongan kepada pelajar bumiputera bagi menyambung pengajian ke peringkat tinggi.

"Program ini telah memberi manfaat kepada seramai 1.4 juta orang pelajar, manakala pada tahun 2020 Mara telah berjaya menaja seramai 51,054 pelajar bagi mengikuti pengajian di institusi dalam dan luar negara,” katanya.

Mara berkata, pada tahun 2021, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion di bawah program pinjaman yang bakal memberi manfaat kepada lebih 50,000 orang pelajar.

Katanya, sebagai sebuah agensi kerajaan yang diberi mandat pada 1 Mac 1966, Mara terus mencatur pembangunan meliputi Keusahawanan, Pendidikan, Pelaburan dan Khidmat Pengurusan.

"Sejarah penubuhan Mara bermula apabila desakan untuk mengkaji semula peranan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA) yang lebih bersifat kepada penyediaan infrastruktur.

"Oleh itu, Kongres Ekonomi Bumiputera pada 1965 telah bersetuju mewujudkan Mara, sebuah badan khas yang lebih memfokuskan kepada pembangunan modal insan bumiputera," katanya.

Sementara itu, sambutan Hari Mara pada tahun ini diadakan secara maya di semua pusat pentadbiran Mara yang bertemakan ‘Menjunjung Amanah Mendepani Masa Hadapan’ dengan memberi fokus kepada cabaran masa kini yang dihadapi negara.

Sementara itu, Pengerusi Mara, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, sempena sambutan Hari Mara yang ke-55 itu, beliau berkeyakinan Mara akan terus unggul dalam memartabatkan bumiputera seterusnya memberi manfaat kepada anak bangsa.

"Mara sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab memperkasakan agenda bumiputera melalui pelbagai inisiatif yang akan memberi impak kepada masyarakat,” katanya.