Cadang wujud wi-fi percuma di PPR DBKL

Iklan
Annuar Musa

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan sedang meneliti keperluan bagi mewujudkan perkhidmatan wi-fi percuma di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkhidmatan itu ditawarkan bagi membantu pelajar daripada golongan B40 mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lebih selesa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, penelitian perlu dilakukan kerana ia melibatkan beberapa kos termasuk modal dan operasi.

"Di beberapa jalan di pusat tumpuan perniagaan (CDB) Kuala Lumpur sedikit masa lagi akan ada perkhidmatan wi-fi percuma namun saya berpandangan dalam kawasan PPR juga perlu ada perkhidmatan yang sama.

Iklan

"Malah, pengalaman kita sepanjang wabak Covid-19 ini membuktikan pembelajaran online sudah menjadi norma baharu dan walaupun sekolah akan dibuka kaedah itu saling melengkapi pembelajaran formal di sekolah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program penyerahan bantuan Riang Ria Kembali ke Sekolah anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan yang melibatkan beberapa PPR di sini hari ini.

Iklan

Bantuan persediaan persekolahan seperti baucar buku, beg sekolah dan pelitup muka itu melibatkan peruntukan RM3 juta disumbangkan kepada 31,838 pelajar terpilih dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima dari seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. - Bernama