'Harapan UMNO pulih lebih cerah jika singkir pemimpin korup'

Iklan
A Kadir Jasin

SHAH ALAM - Harapan UMNO pulih adalah lebih cerah sekiranya parti itu bertindak nekad menyingkirkan pemimpin korup dan bermasalah lalu menggantikannya dengan yang lebih bersih, muda dan berwibawa.

Demikian pandangan Tokoh Wartawan Negara yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A Kadir Jasin dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, harapan UMNO lebih cerah sekiranya berjaya berbuat demikian dan sekali gus mampu memudarkan prospek Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga Perikatan Nasional (PN).

"Tapi kalau pucuk pimpinan UMNO terus hipokrit dan setia kepada bos-bos yang bermasalah, parti itu akan ditolak oleh akar umbinya sendiri,” kata A Kadir.

Iklan

Menurut A Kadir, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 UMNO kalah kerana dakwaan rasuah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa pemimpin parti itu.

"Ketika itu Najib masih berkuasa, ada banyak duit dan bebas daripada tindakan undang-undang. Itu pun UMNO kalah.

Iklan

"Sekarang Najib dan beberapa orang pemimpin UMNO sudah didapati bersalah dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang dibicarakan.

"Jadi adakah kepercayaan kepada UMNO sekarang lebih baik? Tentunya tidak," katanya lagi.

Catatan A Kadir ini muncul selepas UMNO dilaporkan membuat keputusan untuk mengakhiri kerjasama dengan Bersatu serta PN sebaik sahaja darurat berakhir.

Laporan yang memetik sumber itu berkata, Ahmad Zahid membuat ketetapan itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung di Janda Baik, Pahang pada Jumaat lalu.

A Kadir bagaimanapun hanya akan percaya mengenai ketetapan yang dilaporkan dibuat Presiden UMNO itu apabila ia benar-benar berlaku.

"Sehingga ia berlaku, saya tidak percaya dengan 'keputusan' UMNO mengakhiri kerjasama dengan Bersatu dan PN sebaik darurat berakhir, seperti yang dilaporkan," katanya.