TNB imbau asal usul tradisi Tahun Baharu Cina melalui filem pendek

Iklan
TNB mengetengahkan kegembiraan yang menjadi asas kepada tradisi dan nilai-nilai Tahun Baharu Cina menerusi filem pendek ‘Nian-tastic New Start’.

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeriahkan Tahun Baharu Cina 2021 dengan mengimbau semula cerita rakyat mengenai raksasa mitos Nian yang mengganggu orang ramai pada setiap malam Tahun Baharu Cina dengan sentuhan jenaka.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol berkata, menerusi filem ‘Nian-tastic New Start’, TNB berharap dapat mencetuskan suasana positif bagi tahun baharu berikutan pelbagai cabaran dihadapi akibat pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Ramai yang mahukan permulaan baharu pada tahun 2021 dan menerusi filem ini, kita ingin memberi inspirasi kepada orang ramai untuk meraikan tahun baharu ini dengan semangat kegembiraan dan perpaduan.

"Dengan tenaga yang positif, kita boleh bersama-sama mengharungi pelbagai cabaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mohamad Ariff berkata, filem pendek yang sarat dengan nasihat dan cerita rakyat itu mengetengahkan semangat kegembiraan dan perpaduan yang menjadi asas kepada tradisi Tahun Baharu Cina menerusi kisah lagenda Nian dengan pendekatan berbeza.

MOHAMAD ARIFF ZAINOL

"Dalam filem yang mendapat sentuhan pengarah berkaliber Quek Shio Chuan itu, sekumpulan penduduk kampung yang ketakutan pergi mengembara bagi mendapatkan pertolongan seorang mahaguru yang bijaksana. Mereka menganggap bahawa dia mengetahui rahsia cara mengalahkan Nian untuk mengembalikan keharmonian dan kesejahteraan kampung mereka,” katanya.

Iklan

Beliau bagaimanapun berkata, mereka terkejut apabila mengetahui mereka sudah mempunyai kuasa untuk mengalahkan raksasa itu selama ini dengan bersatu sebagai satu komuniti serta mempamerkan semangat kegembiraan dan sikap positif untuk menghadapi raksasa berkenaan.

"Mahaguru yang bijaksana itu mengajar mereka kunci untuk mengalahkan raksasa itu adalah menakutkannya dengan warna merah, bunyi yang kuat serta cahaya yang terang,” katanya.

Mohamad Ariff berkata, ia menjadi permulaan kepada banyak tradisi seperti berpakaian merah, berkumpul dengan keluarga, menghasilkan bunyi yang kuat dengan bermain gendang dan menyalakan mercun serta menghiasi kediaman dengan tanglung berwarna merah yang terang untuk menakutkan Nian.

Filem pendek ‘Nian-tastic New Start’ mencetuskan suasana positif bagi Tahun Baharu Cina 2021 berikutan pelbagai cabaran dihadapi akibat pandemik Covid-19.

"Padat dengan aksi luar biasa dan gelagat yang menggelikan hati, filem yang menggabungkan pendekatan moden dengan gaya drama zaman dahulu telah dihasilkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Ia juga menampilkan kameo pemegang rekod Guinnes World Records tajaan TNB, Soh Wai Ching yang telah memecah rekod dunia untuk 'Pendakian Tangga Menegak Terhebat dalam Satu Jam (Lelaki)' pada November lalu.

Beliau berkata, filem ‘Nian-tastic New Start’ dijadualkan untuk ditayangkan pada Selasa di Youtube (www.youtube.com/TENAGAofficial) dan akan disiarkan di saluran TV bermula 10 Februari depan.