Jerman guna koktel ubat rawat Trump

Iklan
Jerman akan menggunakan rawatan antibodi untuk merawat pesakit Covid-19. - Foto Agensi

BERLIN - Jerman akan menjadi negara pertama Kesatuan Eropah (EU) mula menggunakan rawatan antibodi yang sama digunakan untuk memulihkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump daripada jangkitan Covid-19.

"Pemerintah telah membeli 200,000 dos dengan harga 400 juta euro (RM2 bilion), namun akan diberikan secara percuma kepada pesakit," ujar Menteri Kesihatan, Jens Spahn pada Ahad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terapi antibodi monoklonal menggunakan koktel antibodi Casirivimab/Imdevimab dihasilkan Regeneron dan ubat antibodi Bamlanivimab yang dihasilkan firma Eli Lilly itu akan diedarkan ke hospital universiti pada minggu akan datang.

Difahamkan, rawatan tersebut telah diluluskan untuk kegunaan kecemasan di Amerika Syarikat (AS) walaupun belum mendapat lampu hijau daripada pengawal selia Eropah.

Iklan

Sementara itu, jurucakap Kementerian Kesihatan memaklumkan pengawal selia kebangsaan, Paul Ehrlich Institute (PIE) mengesahkan penggunaan ubat itu dibenarkan jika doktor menganggapnya sesuai untuk mencegah gejala teruk atau dimasukkan ke hospital membabitkan kumpulan berisiko tertentu.

Rawatan itu dipilih selepas Trump yang dimasukkan ke hospital pada Oktober lalu mendakwa terapi Regeneron tersebut berkesan merawatnya.

Iklan

Koktel ubat tersebut menggabungkan dua antibodi buatan makmal yang berfungsi menghalang Covid-19 daripada menyerang sel manusia.

Berlin membuat keputusan itu sebelum mendapat kelulusan Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) berikutan kekecewaan yang semakin meningkat akibat pengedaran vaksin yang agak perlahan di rantau terbabit terutamanya selepas Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca mengumumkan tentang masalah pengeluaran yang dihadapi mereka.

Sebelum ini, Jerman menjangkakan dapat menawarkan suntikan dos vaksin kepada seluruh rakyat menjelang akhir Ogos depan. - AFP