NEW DELHI - Dua lelaki bermotosikal berpura-pura bertanyakan arah sebelum meragut iPhone 18 Pro milik seorang wanita yang menaiki beca elektrik di Greater Noida West, Uttar Pradesh, India pada Isnin.
Ketika kejadian mangsa, Shubhi Bhandari dalam perjalanan ke tempat kerjanya.
Berdasarkan aduan yang dibuat, Bhandari mengeluarkan telefon pintarnya untuk membuat bayaran dalam talian bagi perjalanan e-rickshaw, sebelum kedua-dua suspek menghampirinya dengan motosikal.
Kedua-dua lelaki itu memakai topi keledar dan pada mulanya bertanyakan arah sebelum seorang daripada mereka bertanya, “Ini iPhone baharu?”
Selepas Bhandari mengesahkan bahawa telefon itu ialah model baharu, suspek bertindak meragut iPhone 18 Pro itu daripada tangannya sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
Suami mangsa, Saket Gupta berkata telefon pintar isterinya itu baru dibeli tiga hari sebelum kejadian dan susulan kejadian tersebut keluarga mangsa membuat laporan polis.
Gupta turut membangkitkan kebimbangan mengenai kehadiran anggota polis yang didakwa terhad di jalan-jalan utama pada waktu pagi.
Polis memaklumkan, laporan maklumat pertama (FIR) secara dalam talian telah didaftarkan berdasarkan aduan yang dibuat oleh bapa mangsa.
Ketua Balai Polis Bisrakh, Ranjeet Singh berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan selain mengumpulkan bukti lain bagi mengenal pasti dan mengesan suspek.
Dalam pada itu, laporan berkenaan menyatakan iPhone 18 Pro di India ditawarkan bermula pada harga 164,900 rupee (RM7,018.38), dengan pilihan kapasiti storan 256GB, 512GB, 1TB dan 2TB.
Telefon pintar itu turut ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu hitam, perak, putih dan kemasan baharu merah gelap. - Agensi