Pulih integriti, tolak rasuah

Iklan
Mohd Farid Ravi Abdullah

SHAH ALAM – Malaysia masih mempunyai harapan untuk memulihkan integriti dan menolak kegiatan rasuah dalam kalangan masyarakat.

Pensyarah Kolej Universiti Islam Malaysia, Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata, sebagai umat Islam, kita ditegah untuk berputus asa dan perlu melawan rasuah supaya generasi akan datang tidak perlu menghadapi rasuah yang tidak diselesaikan.

Iklan
Iklan

"Pemimpin pada hari ini menggarap usaha menyelesaikan kemelut rasuah yang berlaku di mana-mana dan kedudukan Malaysia dalam (CPI) semakin baik. Malahan, kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyelesaikan sembilan daripada 10 kes rasuah yang ditangkap telah disabitkan (di mahkamah) adalah pencapaian yang terbaik.

"Ia memberikan gambaran jelas bahawa persepsi masyarakat selama ini terhadap SPRM ialah tangkap dan lepas itu tidak benar. SPRM menangkap (pemberi atau penerima rasuah) selepas mempunyai bukti, mengadakan siasatan dan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Peguam Negara. Ia terpulang kepada Peguam Negara untuk mendakwa atau tidak,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai panelis Wacana Al-Quran Siri 64 bertajuk Virus Rasuah: Hadiah Bawa Padah yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Farid menegaskan, generasi muda perlu diberikan pengetahuan mengenai rasuah dan pemurnian terhadap rasuah di negara ini dan ia mesti berlaku daripada kepimpinan tertinggi sehingga ke bawah.

Iklan

"Pemimpin tidak perlu pandai bercakap sahaja tetapi perlu memastikan tidak terpalit dengan rasuah.

"Rasuah dikaitkan dengan wang bawah meja, pelincir, duit kopi... rasuah seks juga wujud. ALLAH menggambarkan bagaimana hinanya manusia daripada dimuliakan oleh ALLAH. Manusia menghinakan dirinya dengan memakan rasuah,” katanya.

Mohd Farid berkata, terdapat tiga faktor berlakunya rasuah seperti peluang, desakan dalam kehidupan dan rasional untuk menerima rasuah.

"Pada setiap tahun dianggarkan sebanyak AS$1 trilion rasuah dibayar untuk pelbagai tujuan. Di seluruh dunia, rasuah menyebabkan penambahan 20 peratus kos perniagaan.

"Keadaan ini mendukacitakan rakyat Malaysia. Pada hari ini kita dipimpin oleh pemimpin yang majoritinya beragama Islam dan ada iman, mengucap dua kalimah syahadah, berpuasa, solat Jumaat, mendengar khutbah Jumaat, menonton forum perdana, baca al-Quran, bersekolah agama, namun sejauh mana jiwa yang diasuh dengan ajaran Islam itu dijadikan sebagai maklumat untuk panduan hidup,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat perlu mencari rezeki yang berkat supaya ia tidak memudaratkan kehidupan mereka terutamanya kesan kepada isteri dan anak-anak mereka.

"Jika kita memilih harta sebagai kebahagiaan dalam kehidupan, kita salah kerana keberkatan itulah yang sebenarnya menjanjikan ketenangan dan kejayaan dalam kehidupan kita,” katanya.