Majlis akad nikah di Selangor kembali guna kaedah sidang video

Iklan
Mohd Shahzihan Ahmad

SHAH ALAM - Majlis akad nikah di Selangor akan dilaksanakan secara sidang video sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Rabu hingga 26 Januari depan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, proses itu hanya dilaksanakan kepada pasangan yang telah mendapat Kebenaran Berkahwin dan temujanji tarikh akad nikah oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) atau di Masjid Pengurusan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelaksanaan akad nikah secara sidang video akan dilakukan oleh Pendaftar yang akan berada di PAID, manakala pengantin, wali dan dua saksi berada di rumah.

"Pegawai Tadbir Agama (PTA) setiap daerah akan menetapkan pelaksanaan majlis akan nikah berdasarkan temujanji yang telah diatur," katanya menerusi satu kenyataan.

Iklan

Dalam pada itu Mohd Shahzihan berkata, perkhidmatan utama ditawarkan JAIS khususnya melibatkan urusan nikah, cerai dan rujuk hanya dijalankan secara dalam talian sepanjang tempoh PKP.

Menurutnya, sebanyak 10 kaunter talian telefon dibuka di One Stop Centre di Aras Bawah, Bangunan Sultan Idris Shah untuk konsultasi perkhidmatan dan urusan temujanji.

Iklan

"Pelanggan boleh menghubungi talian 0355143600 atau 0355143400 sepanjang waktu pejabat dibuka (Isnin hingga Jumaat).

"Sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan juga boleh diemelkan ke info@jais.gov.my. Hotline Penguatkuasaan pula dibuka bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam," katanya

Untuk rekod, akad nikah di Selangor secara dalam talian diperkenalkan dalam tempoh PKP pada 20 April tahun lalu.

Kebenaran khas itu sebelum ini diberikan selepas semua majlis akad nikah dalam tempoh PKP ditangguhkan apabila lima jurunikah JAIS terpaksa dikuarantin kerana dikesan ada kontak dengan individu positif Covid-19 ketika bertugas (menikahkan pasangan pengantin).