2021 tahun untuk belajar hidup bersama Covid-19

Iklan

Rata-rata semua orang, tak kira miskin apa lagi yang kaya, semakin letih dengan pantang larang Covid-19. Sebab itu kita lihat ramai yang berbondong-bondong ke luar rumah. Sama ada bercuti, balik kampung, ke pusat beli-belah atau ke tempat riadah, kebanyakannya membawa anak-anak dan keluarga. Bukan kecil risikonya.

Ini kenyataan. Semua peringkat umur, sama ada kecil dan besar, muda dan tua telah mula lelah duduk di rumah. Anak-anak yang bersekolah pula mungkin sudah kematu melihat skrin komputer kerana terpaksa belajar menerusi online.

Iklan
Iklan

Semua perlukan udara segar di luar rumah walaupun mereka sedar udara itu mungkin bercampur dengan virus Covid-19 yang boleh menjangkiti manusia pada bila-bila masa. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pun mungkin juga sudah penat berulang kali meminta rakyat duduk di rumah.

Sebenarnya, rakyat tak sabar menunggu ketibaan vaksin di Malaysia. Walaupun dikatakan ada sedikit kesangsian terhadap kesan sampingan yang dimomokkan di media sosial, tetapi itulah harapan untuk rakyat benar-benar berasa bebas beraktiviti ke sana ke sini tanpa hambatan SOP (standard operating procedure) dan kemungkinan didenda. Cuma rakyat lupa impak kepada kerajaan dari sudut kos dan logistik.

Iklan

Mengikut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kerajaan membayar sebanyak RM77.35 untuk setiap dos vaksin. Kerajaan juga telah memesan sebanyak 26.5 juta dos vaksin di mana setiap rakyat akan diberi satu dos bagi setiap seorang. Ini bermakna kerajaan akan membelanjakan sekitar RM2 bilion untuk vaksin Covid-19.

Jika mengikut standard negara Eropah yang menetapkan setiap orang perlu menerima dua dos, bermakna kerajaan terpaksa membelanjakan sekitar RM4 bilion hanya untuk vaksin. Ini baru kos vaksin. Bagaimana pula kos penyimpanannya yang memerlukan peti sejuk dengan suhu antara -25°C hingga -15°C?

Iklan

Ia bukan hanya satu stor pusat tetapi sekurang-kurangnya melibatkan 14 stor penyimpanan dan mungkin lebih jika mengambil kira keperluan di negeri-negeri yang lebih besar termasuk kawasan pedalaman seperti di Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Ini tidak termasuk kos pelaksanaan untuk petugas. Sekurang-kurangnya Kementerian Kesihatan memerlukan jururawat yang mahir untuk mengendalikannya. Bayangkan berapa banyak logistik dan kos yang diperlukan bagi merangkumi semua rakyat termasuk di luar bandar dan pendalaman.

Persoalannya berapa lama proses penyuntikan vaksin ini secara keseluruhannya? Setahun, dua tahun atau mungkin tiga tahun? Ini belum lagi melibatkan pendatang asing yang berada di negara kita yang jumlahnya dianggarkan sekitar lima juta.

Keutamaan

Sebenarnya banyak lagi persoalan yang perlu difikirkan oleh kerajaan. Apatah lagi sekarang ini kes baharu direkodkan mencanak melebihi 2,000 kes sehari. Kes dalam rawatan masih melebihi 20,000 dengan kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih melebihi 100 pesakit.

Pastinya prioriti diberikan kepada pesakit-pesakit dalam rawatan diikuti dengan golongan berisiko tinggi. Kemudian barulah vaksin berkenaan diagihkan kepada rakyat yang sihat dan kurang risiko. Itu pun jika semua mengikut aturan dan tiada yang menggunakan kuasa wang ringgit dan jawatan untuk dapatkan vaksin secara ‘short cut’.

Jadi sementara menantikan giliran masing-masing, rakyat perlu terus mematuhi SOP. Jangan ada yang ambil mudah dan jangan ada yang meminta pengecualian. Akibat sikap beginilah penularan tiba-tiba mencanak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah satu ketika dulu. Gara-gara bersikap sambil lewa, kini semuanya seperti nasi hampir menjadi bubur.

Sepanjang tahun 2021 ini, kita kena belajar hidup bersama virus Covid-19. Dalam bahasa Inggerisnya, ‘learn how to co-exist with the virus’. Kami pernah utarakan perkara ini tiga bulan dulu. Sekarang Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub juga menyatakan yang sama. Sebenarnya, tiada pilihan lagi untuk kita.

Pelaksanaan vaksin anti-Covid-19 akan memakan masa satu hingga dua tahun atau mungkin lebih. Kita semua termasuk keluarga dan anak-anak telah lelah dan jemu duduk lama-lama di rumah. Sekolah akan dibuka pada 20 Januari. Begitu juga institusi pengajian tinggi. Kelekaan dan kecuaian boleh membawa kecelakaan. Itu yang kita alami dalam bulan November dan Disember lalu. Kita harus jaga kita dan keluarga kita sendiri.

Kita harus tahu punca jangkitan. Virus akan masuk melalui rongga yang terbuka seperti mata, mulut, hidung dan telinga. Virus ini juga akan menyerang jika titisan orang yang bergejala terkena pada kita ketika mereka bersin atau tempias ketika bercakap.

Justeru, tangan dan jari kita janganlah menyentuh rongga-rongga kita yang terbuka itu sebelum tangan dicuci dengan sabun atau sanitasi. Disarankan setiap kita membawa botol mini sanitasi tangan di mana sahaja kita berada dan seringlah mencuci tangan terutama jika tergerak hendak menyentuh rongga-rongga terbuka kita.

Kita juga disaran jangan bersalaman atau bersentuhan dengan sembarangan orang. Kata pepatah Inggeris ‘better safe than to be sorry’ dan ‘prevention better than cure’.

Kalau pun perlu bersua muka, lebih selamat pakailah pelitup muka dan jaga jarak supaya tetesan bersin mereka tidak sampai kepada kita. Dengan kecanggihan kini, perjumpaan secara maya lebih digalakkan kerana ia bukan sahaja mudah tetapi selamat dan menjimatkan. Itu norma baharu yang telah dan perlu diterima pakai.

Kata orang, ilmu dan perlakuan berdasarkan ilmu sangat penting dan merupakan kunci kejayaan. Kita dah banyak baca pengalaman orang yang telah dijangkiti bagaimana seksanya mereka menjalani proses penyembuhan. Belajarlah daripada pengalaman mereka yang banyak dikongsi di media.

Semoga Malaysia dan rakyatnya cepat bebas dan menang daripada wabak Covid-19 di tahun 2021 ini. Kitalah yang menentukan menang kalah itu. Jika bukan kita, siapa lagi!