Guan Eng minta MOTAC jangan 'hidup dalam penafian'

Iklan
Guan Eng

SHAH ALAM - Kerajaan diminta tampil dengan sebuah rancangan yang lebih kukuh dalam usaha membantu industri pelancongan negara yang berhadapan dengan krisis kerugian dianggarkan bernilai RM100 bilion pada tahun ini ekoran wabak Covid-19.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) kini dilihat seakan-akan menafikan kegetiran yang dihadapi oleh pengusaha industri pelancongan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

Iklan
Iklan

"Industri pelancongan adalah mangsa terbesar krisis tiga berganda iaitu ketidakstabilan politik, kemelesetan ekonomi dan pandemik kesihatan awam Covid-19 di Malaysia.

"Namun, kementerian pelancongan terus mengambil pendekatan 'hidup dalam penafian' dengan meramalkan bahawa purata penghuni hotel untuk tahun 2020 akan mencecah 61.1 peratus dan 58.4 peratus pada tahun 2021," katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Facebooknya hari ini.

Iklan

Menurutnya, unjuran palsu dan tidak realistik seperti itu berpotensi merosakkan keyakinan rakyat apabila ia dilihat memberi gambaran bahawa kerajaan tidak tahu bagaimana menjalankan tugasnya untuk menyelamatkan industri pelancongan kita.

"Ini menimbulkan beberapa persoalan sama ada masih akan ada sektor pelancongan yang signifikan setelah wabak Covid-19 berakhir," katanya yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataanMenteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.

Dalam kenyataan tersebut, Nancy memaklumkan bahawa industri pelancongan Malaysia mengalami kerugian sekitar RM100 bilion pada tahun 2020 ekoran wabak Covid-19.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Bagan itu menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya menggandakan usaha bagi membantu pemandu pelancong, agensi pelancongan dalam dan luar, pengusaha bas ekspres serta pengusaha hotel.

Antara perkara yang dicadangkan adalah pemberian subsidi gaji yang lebih tinggi berdasarkan kepada peratusan dan lanjutan moratorium pinjaman bank secara automatik tidak termasuk golongan T20.

Guan Eng turut meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif upah pengambilan pekerja sebanyak RM500 dan RM300 setiap bulan dan bantuan kewangan tambahan RM10 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama dalam industri pelancongan.

"Tanpa langkah-langkah kewangan penting yang dinyatakan di atas daripada kerajaan PN, bagaimana sektor pelancongan dapat bertahan daripada kerugian RM100 bilion pada tahun 2020 tanpa rancangan survival pelancongan yang kukuh untuk mengimbangi kerugian besar tersebut?" Katanya.

"Pemberian kewangan dan kredit pinjaman sekarang tidak mencukupi dan keluhan yang sering kedengaran adalah kesukaran mendapatkan pinjaman daripada pihak bank," kata beliau lagi.