Bersatu perkukuh perjuangan Islam: Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin melaungkan "Bersatu” sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang dibuat secara maya hari ini.
- Foto Bernama

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kembali prinsip pertama yang digariskan dalam perjuangan parti iaitu menegakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Menurutnya, agenda itu dilaksanakan dengan mengutamakan pendekatan yang sederhana termasuk menghormati hak bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing- masing secara aman dan harmoni.

Iklan
Iklan

"Saya sedar melaksanakan prinsip mempertahankan Islam ini bukanlah suatu tugas yang mudah. Negara kita telah memasuki era Revolusi Industri 4.0 dengan pelbagai cabaran baharu yang kompleks serta mencabar bukan sahaja akidah umat Islam, malah mengganggu gugat aspek syariah dan akhlak.

"Ancaman fahaman sekularisme, pluralisme dan liberalisme terhadap kesucian Islam merupakan fahaman yang terus mencabar pegangan ahli sunnah wal jamaah umat Islam di negara kita. Fahaman ini meresapi pemikiran umat Islam menerusi wacana yang bersifat keilmuan walaupun sebenarnya agak menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Iklan

"Justeru, dalam kita hendak melaksanakan Islam di Malaysia, kita hendaklah sentiasa berpegang teguh kepada prinsip mempertahankan akidah umat Islam menerusi pendekatan yang berasaskan ilmu atau 'knowledge-based approach' dan dengan cara yang paling berhikmah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2020, yang dibuat secara maya dan dipancarkan secara langsung melalui Facebook parti itu hari ini.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Perhimpunan Agung Bersatu bincang mansuh jawatan pengerusi

Armada kemuka lima teras usul

'Bukan masa untuk rebut kuasa'

Tambah beliau, selepas lebih 60 tahun negara merdeka, tugas dan tanggungjawab pemimpin hari ini ialah untuk terus mempertahankan Islam sebagai suatu cara hidup yang bersifat menyeluruh dan tidak terpisah daripada amalan kehidupan.

Ujarnya, Islam di negara ini perlu terus berfungsi sebagai kuasa yang membentuk pemikiran dan peradaban umat Islam di rantau nusantara selain terus menjadi paksi perpaduan ummah.

"Usaha untuk meningkatkan keupayaan umat Islam dalam pelbagai bidang, baik ekonomi, pendidikan, sosial, teknologi dan lain-lain akan terus dipertingkatkan. Pencapaian umat Islam dalam pelbagai bidang ini tidak boleh ketinggalan di belakang. Ketinggian martabat Islam sebagai ad-din mestilah seiring dengan ketinggian pencapaian umat Islam dalam semua aspek kehidupan.

"Ini seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang menjadi paksi dasar utama kerajaan dalam menjamin pembangunan yang mapan dan pengagihan kekayaan yang adil dan saksama untuk semua rakyat tanpa mengira perbezaan agama, kaum dan wilayah.

"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan memastikan keadilan dan kesaksamaan untuk semua rakyat sentiasa terjamin. Saya percaya, Kemakmuran Bersama hanya akan terbentuk apabila semua rakyat dapat berkongsi kemakmuran negara ini secara adil dan saksama, tanpa sesiapapun yang tertinggal di belakang," katanya.