Armada kemuka lima teras usul

Armada
Armada
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengemukakan lima teras usul bagi dipertimbangkan oleh parti itu untuk mendepani cabaran mendatang.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, usul tersebut ialah belia kunci kemenangan, anak muda mahir dan maju, kehidupan berkualiti, golongan rentan dan Malaysia di persada dunia.

Menurutnya, pada tahun ini separuh daripada rakyat Malaysia ialah mereka yang berumur 30 tahun atau lebih muda.

“Menjelang berkuatkuasanya Undi 18 pada Julai 2021, anak muda akan menjadi kumpulan pengundi terbesar yang wajib disantuni. Justeru, usul pertama kami mencadangkan agar 20 peratus daripada calon pilihan raya dan lantikan mestilah terdiri daripada anak muda.

“Ia termasuklah bagi jawatan Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Majlis Kerajaan Tempatan dan khidmat sokongan anggota pentadbiran,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ketiga hari ini.

Beliau berkata, golongan mahasiswa dan profesional muda perlu diyakinkan untuk aktif berpolitik dan bersama dengan Armada.

“Armada harus menyusun semula platform dan gerak kerja untuk golongan ini di bawah payung Mahasiswa Bersatu Negara namun ini perlu dibuat di bawah panji dan jenama yang tunggal serta tidak berbelah bahagi iaitu logo bunga raya kita,” katanya.

Wan Ahmad Fayshal berkata, teras kedua iaitu anak muda mahir dan maju, Armada mencadangkan agar rombakan segera sistem pendidikan terutamanya untuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) agar setiap belia, bahkan sebelum meninggalkan alam persekolahan sudah mempunyai peluang kerja yang sesuai dengan bakat dan minat masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Melalui dasar jaminan pekerjaan di bawah Majlis Pekerjaan Negara, skim-skim ini boleh diperkasa agar peluang pekerjaan dapat dicipta dan dimajukan. Sistem ‘talent matching’ yang mengenal pasti dan memadankan bakat-bakat muda dengan peluang yang terbaik juga perlu disegerakan,” katanya.

Katanya, setiap isi rumah perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja berkemahiran tinggi atau bekerja dalam sektor yang mempunyai nilai tambah tinggi.

“Selain daripada pakar IT dan pakar ekonomi, kita juga mahu belia memimpin dalam bidang kepintaran buatan, robotik dan yang paling penting teknologi hijau untuk menjamin kelestarian alam sekitar kita. Ini fardu kifayah yang tidak boleh kita tinggalkan dari kalangan kita.

“Selain itu, koronavirus (Covid-19) membuktikan kebergantungan kepada tenaga kerja asing adalah satu liabiliti. Kami percaya masalah ini harus dikurangkan beransur-ansur dan guna tenaga tempatan dipertingkat,” katanya.

Menyentuh teras ketiga, Wan Ahmad Fayshal berkata, dasar perumahan awam yang lebih agresif perlu untuk membekalkan rumah mampu milik atau rumah mampu sewa yang lebih berintegrasi dengan keperluan ekonomi rakyat.

“Ia juga harus dipadankan dengan sistem sokongan sosial yang lebih mesra keluarga seperti pusat penjagaan kanak-kanak, sekolah dan peluang pekerjaan.

“Dunia berubah dengan begitu cepat, maka kemahiran perlu sentiasa dikemas kini. Oleh itu anjakan besar diperlukan untuk mempromosi pendidikan lanjutan dan berterusan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Armada kesinambungan perjuangan terdahulu'