Jalan runtuh susulan hujan berterusan

Iklan
Kerja-kerja menambak jalan di Kampung Petaling, Kuala Nerus giat dijalankan.

KUALA NERUS - Jalan di Kampung Petaling, di sini runtuh hampir 20 meter susulan hujan lebat yang menyebabkan pembetung di jalan utama di situ pecah.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 malam tadi menyebabkan lebih 10 buah kediaman di situ dinaiki air sedalam satu meter.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, Norizan Mohd Noor, 54, berkata, penduduk di situ mula menyedari air mula menenggelami kawasan kediaman mereka kira-kira jam sembilan malam.

"Orang kampung mula panik sebelum menyedari pembetung di jalan utama pecah menyebabkan saluran air tersekat dan air tidak boleh mengalir sempurna. Tambahan pula hujan lebat, air mula masuk ke kawasan kediaman.

Iklan

"Hampir lima ke enam buah rumah teruk terkesan sebab air masuk sehingga ke dalam. Kami semua terkejut sebab kawasan ini tidak pernah banjir, malah sepanjang saya menetap hampir 30 tahun di sini tak pernah banjir,” katanya yang juga suri rumah.

Jalan runtuh akibat hujan berterusan sehingga menyebabkan pembetung di jalan utama Kampung Petaling, Kuala Nerus pecah.

Abdul Wahid Muda, 63, pula berkata, pembetung itu pecah mungkin kerana hujan sejak kelmarin menyebabkan arus deras.

Iklan

Jelasnya, projek itu dibuat sejak beberapa bulan yang lalu dan kejadian banjir di kampung berkenaan adalah pertama kali berlaku sejak dia menetap di kampung itu lebih 60 tahun lalu.

"Banyak juga perabot dan barangan elektrik penduduk di sini yang rosak kerana ditenggelami air. Tak sangka kejadian sebegini boleh berlaku,” katanya.

Kejadian itu juga menyebabkan seramai 31 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong dan tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati, kerja-kerja menambak jalan runtuh itu sedang dilakukan pihak berkaitan.