Wujudkan industri baharu tangani isu penuaan, pengangguran

Iklan
warga emas perempuan

MENURUT anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia akan menjadi negara tua apabila penduduk warga emas mencecah 15% iaitu 5.6 juta menjelang tahun 2030.

Sehingga kini, negara dianggarkan mempunyai 3.5 juta warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas, iaitu 10.7% daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.

Iklan
Iklan

Ini bermakna dalam tempoh 10 tahun ini, negara seharusnya sudah siap siaga dalam usaha menawarkan kemudahan dan sistem sokongan untuk rakyat yang semakin menua demi kelangsungan hayat mereka.

Proses penuaan adalah proses semula jadi yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, menua dengan bermaruah adalah hak bagi setiap rakyat biarpun menghampiri akhir hayat.

Iklan

Selepas memperhalusi ucapan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan pada minggu yang lalu, perkara yang dikesali ialah kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih berminat memperuntukkan dana untuk berpolitik daripada menangani isu rakyat yang terkesan akibat pandemik.

Peruntukan itu seperti RM85.8 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang fungsinya bertindih dengan jabatan sedia ada dan RM8.6 juta untuk Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT).

Iklan

Kerajaan PN dilihat kurang peka keperluan dan kesejahteraan golongan warga emas untuk jangka panjang lebih-lebih lagi di dalam musim pandemik koronavirus (Covid-19).

Mengambil contoh kejadian yang tular di laman media sosial semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, iaitu kes Encik Lai Fah Kuen, 72, yang ditemui maut polis di Kuala Lipis pada 14 April 2020.

Sebelum Lai ditemui maut di rumah, polis yang bertugas di kawasan terbabit menjumpai Fah Kuen berjalan kaki sejauh satu kilometer dari rumah untuk mencari makanan.

Insiden Fah Kuen jelas menonjolkan kelompongan yang wujud dalam sistem sokongan sosial warga emas di negara ini.

Hak asasi rakyat terutama warga emas untuk mengakses kepada sokongan sosial perlu dipandang serius dan pilihan perkhidmatan penjagaan mengikuti keperluan perlu dipelbagaikan.

Merujuk kepada Belanjawan 2021, dasar kerajaan PN masih ketinggalan zaman kerana mereka menggunakan dasar sama sejak tahun 2012 kecuali kenaikan nilai saguhati kepada 2,000 sukarelawan dan 8,000 klien disebut dalam Program Khidmat Bantu Di Rumah yang memberi khidmat sokongan kepada warga emas tinggal bersendirian.

Adakah 8,000 klien itu kesemua warga emas yang tinggal bersendirian dan memerlukan bantuan di dalam negara ini?

Menurut statistik DOSM, penduduk warga emas meningkatkan sebanyak 1 juta orang sejak tahun 2012 yang mencatatkan 2.44juta orang.

Kerja-kerja perkhidmatan bergantung kepada sukarelawan semata-mata tidak mampu menampung keperluan golongan ini yang semakin bertambah dan sofistikated.

Berdasarkan pengalaman saya semasa bekerja di bawah pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dalam bidang perkhidmatan penjagaan warga emas di Australia, Khidmat di Rumah (Home Care) adalah lebih memanfaatkan warga emas dari segi kesihatan mental.

Dasar kerajaan Australia juga lebih cendorong kepada menawarkan ‘Pakej Khidmat di Rumah’ bersubsidi dijalankan pekerja profesional demi mengekalkan warga emas mendiami rumah asal dan berinteraksi dengan komuniti seperti biasa.

Justeru itu, sebuah ekosistem dalam industri perkhidmatan penjagaan warga emas yang berkualiti dan profesional perlu diwujudkan demi menjamin kesihatan fisikal dan mental mereka dalam proses penuaan.

Pada masa yang sama, kadar pengangguran di Malaysia meningkatkan dari 3.3% ke 4.7% iaitu seramai 741,600 orang pada bulan Ogos 2020 berbanding dengan tahun lalu akibat pandemik.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan kerajaan PN menangani isu penuaan dan isu pengangguran secara serentak iaitu dengan cara mendorong perkembangan industri perkhidmatan penjagaan warga emas melalui pelaksanaan inisiatif bersama pemegang taruh sektor swasta.

Dari situ, industri dan peluang pekerjaan baru dapat kita wujudkan keperluan dan kualiti perkhidmatan penjagaan warga emas juga akan terjamin.

Pembangunan modal insan dalam bidang kerja sosial boleh menaik taraf martabat bidang ini menjadi salah satu bidang profesional.

Sebab itu, kementerian pengajian tinggi disarankan untuk memperkenalkan kursus ijazah Kerja Sosial.

Kursus sijil dan diploma dalam bidang perkhidmatan penjagaan warga emas dan komuniti pula boleh ditawarkan di peringkat kolej komuniti.

Hal ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan sektor perkhidmatan penjagaan warga emas, tetapi juga dapat memberi manfaat kepada pentadbiran dan pelaksanaan program sosial dalam sektor awam dan swasta secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, masalah kekurangan kakitangan pekerja sosial yang sering dihadapi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga boleh diselesaikan dengan mengerahkan tenaga kerja ke sektor-sektor ini.

Akhir kata, penggubalan akta yang penting seperti Akta Profesion Kerja Sosial dan Akta Warga Emas diusahakan bekas Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah sepatutnya menjadi perbincangan utama di dalam Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kali Ketiga.

Ini supaya pelbagai pelan strategi boleh dilakar untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan terbela semasa tempoh memerangi Covid-19 dan juga pasca pandemik.

Tetapi malangnya, Persidangan Dewan Rakyat Kali Ketiga ini dihadkan masa bersidang kepada 4 jam sahaja sehari buat masa ini.

Ahli Parlimen digesa untuk mengusulkan tambahan hari sidang bagi memperuntukkan lebih masa kepada pembentangan RUU dan perbahasan ahli-ahli parlimen.

Ahli Parlimen seharusnya perlu menumpukan pada kerja hakiki mereka untuk membentuk dasar dan menggubal akta demi memajukan negara dan membela nasib rakyat tanpa kos tambahan dan biarkan ekonomi kita kembali berkembang.

* Loh Ker Chean ialah Pengarah Komunikasi Wanita PKR