Kantoi curi rokok, coklat

Iklan
Polis merampas sebuah beg galas yang mengandungi 43 kotak rokok pelbagai jenama, barangan keperluan peribadi dan coklat bar selain peralatan pecah masuk. Gambar kecil: Azhar Hashim

KULIM - Dua lelaki ditahan ketika sedang leka mencuri rokok dan coklat di sebuah pasar mini di Sungai Limau, Lunas kira-kira jam 4 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, kejadian disedari anggota Unit Rondaan Bermotosikal yang sedang bertugas di kawasan Taman Makmur sebelum ternampak pintu belakang pasar mini tersebut terbuka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menyedari terdapat cubaan pecah masuk ke premis terbabit, pemeriksaan dibuat sebelum ternampak dua lelaki masih berada di dalam.

"Berlaku pergelutan kerana suspek cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Iklan

Hasil pemeriksaan mendapati suspek berusia 25 dan 28 tahun dari Sungai Lalang, Sungai Petani mempunyai kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Polis turut merampas sebuah beg galas yang mengandungi 43 kotak rokok pelbagai jenama, barangan keperluan peribadi dan bar coklat selain peralatan pecah masuk.

Iklan

"Kita mengharapkan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah supaya tampil menyalurkannya bagi membantu usaha membendung kegiatan ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.