Sultan Johor harap mesyuarat dirahmati ALLAH SWT

Iklan
Doa dibacakan sebelum Sultan Johor berangkat dari LTAS, Senai, Johor Bahru bagi menghadiri mesyuarat khas Raja-Raja Melayu yang diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada petang ini. Foto: Ihsan Royal Press Office (RPO)

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengharapkan mesyuarat khas Raja-Raja Melayu pada hari ini diberkati dan dirahmati ALLAH SWT demi kebaikan semua.

"Pada hari ini saya berangkat ke mesyuarat khas Raja-Raja Melayu. Doakan perjalanan saya mendapat restu daripada ALLAH SWT," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Iklan
Iklan

Sultan Johor berangkat ke Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu yang diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Sultan Ibrahim berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Skudai dekat sini tengah hari ini.

Iklan

Terdahulu doa dibacakan seorang imam sebelum baginda diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani berangkat ke Kuala Lumpur.

Foto-foto Sultan Ibrahim sebelum berangkat ke mesyuarat khas tersebut dimuat naik dalam Facebook rasmi Sultan Johor hari ini.

Iklan

Raja-raja Melayu akan mengadakan pertemuan khas di Istana Negara pada petang ini bagi membincangkan cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada pertemuan itu, Raja-raja Melayu memperincikan segala syor dibentangkan Perdana Menteri ketika beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz Indera Mahkota, Kuantan, Pahang kelmarin.

Istana negara dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-raja Melayu pada masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan Muhyiddin.

Muhyiddin sebelum ini menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Abdul Aziz Indera Mahkota yang dikaitkan dengan perbincangan Putrajaya untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.

Spekulasi bertiup kencang sebelum ini bahawa pengisytiharan darurat akan diumum kerajaan jika mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi menangani penularan koronavirus (Covid-19) yang merekodkan peningkatan kes sejak seminggu lalu selain meredakan ketegangan politik.