KUALA PILAH - Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan dakwaan yang beliau kecewa kerana tidak dilantik sebagai Menteri Besar, meskipun timbul dakwaan Negeri Sembilan bakal mendapat Menteri Besar baharu.
Menurutnya, beliau memahami bahawa keputusan pelantikan Menteri Besar adalah hak prerogatif presiden parti dan memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
"Kalau saudara-saudari lihat, saya okey dan saya tidak mempunyai sebarang rasa kekecewaan dan sebagainya.
"Semua orang ada harapan. Cuma saya sudah beritahu awal-awal, soal untuk menjadi Menteri Besar atau tidak, ini adalah prerogatif presiden parti dan juga perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Besar. Kita harus ingat perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Besar Seri Menanti di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) mengumumkan mengenai peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu mendedahkan beliau tidak pernah bersetuju dengan tindakan mengemukakan surat peletakan jawatan berkenaan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan hanya satu nama calon Menteri Besar baharu dikemukakan kepada Tuanku Muhriz.
Mengulas lanjut, Jalaluddin yang juga ADUN Pertang berkata, beliau sebagai rakyat dan pemimpin parti sentiasa menjunjung kasih kepada titah Tuanku.
Katanya, jika semua pihak, termasuk pemimpin dan ketua parti berpegang kepada prinsip berkenaan secara bersama, ia tidak akan menggugat kesejahteraan rakyat.
"Yang penting sekali ialah ketaatan kita kepada Tuanku mesti diperkukuhkan dari semasa ke semasa supaya perkara dan sejarah hitam yang berlaku sebelum ini tidak lagi berulang," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak yang masih melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya menghentikan tindakan berkenaan dan menerima kerajaan negeri yang ada ketika ini.
Beliau turut berharap pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan lebih baik dengan pelantikan Exco baharu.
Terdahulu, Ismail membacakan enam nama Exco yang mendapat perkenan Tuanku Muhriz sebelum kesemua mereka mengangkat sumpah jawatan.