Agong jadi harapan terakhir rakyat elak pengisytiharan darurat: Guan Eng

Iklan
Guan Eng

KUALA LUMPUR - DAP menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan harapan terakhir rakyat bagi mengelak pengumuman darurat yang tidak wajar oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mendakwa, ini kerana Muhyiddin cuba menyelamatkan dirinya dengan mengorbankan Demokrasi Berparlimen, ekonomi negara dan rakyat.

Iklan
Iklan

"Rakyat Malaysia terkejut dengan cubaan Muhyiddin untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong terhadap pengisytiharan darurat dengan alasan palsu untuk menangani penularan gelombang ketiga koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat.

"Adakah Kementerian Kesihatan dan barisan hadapan kita sudah tidak mampu mengawal keadaan tersebut sehingga darurat seluruh negara diperlukan?" soalnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Iklan

Semalam, Jemaah Menteri yang bermesyuarat memutuskan untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menguatkuasakan perintah darurat susulan krisis politik dan penularan koronavirus (Covid-19).

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, golongan profesional perubatan di Malaysia telah menyatakan bahawa langkah-langkah semasa seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah memadai dan pada masa yang sama membantu mengurangkan kesan buruk terhadap keadaan ekonomi rakyat.

Iklan

"Perkara ini jelas tiada kaitan dengan Covid-19 ketika laporan daripada agensi media milik sebuah parti politik secara terbuka mengakui bahawa pengisytiharan darurat adalah untuk mengelakkan Belanjawan 2021 dikalahkan dan menghentikan seketika aktiviti politik.

"Laporan tersebut turut menyatakan bahawa Belanjawan 2021 akan dibentangkan kepada Kabinet dan dapat diluluskan tanpa undian daripada semua 222 ahli Parlimen kerana Parlimen sudah tidak berfungsi dalam keadaan darurat," katanya.

Jelasnya, kesan darurat ialah ia akan memusatkan kuasa kepada Perdana Menteri dengan mengorbankan Parlimen, merosakkan ekonomi dan menyebabkan kehilangan keyakinan yang teruk.

"Apa yang jelas, Muhyiddin telah hilang majoriti di Parlimen dan dia tidak mempunyai keyakinan untuk memenangi undian belanjawan di Parlimen.

"Bahkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengakui bahawa pelaksanaan kuasa darurat adalah untuk mengelakkan pilihan raya yang secara tidak langsung mengakui rancangan besar untuk melindungi kedudukan mereka yang berkuasa," katanya.

Tambah Guan Eng, sekiranya Muhyiddin serius ingin mengatasi krisis kesihatan Covid-19, beliau harus meletakkan jawatan kerana kelemahannya untuk tidak melaksanakan kuarantin penuh di rumah kepada mereka yang kembali dari Sabah berikutan Pilihan Raya Negeri Sabah.

"Sebaliknya, beliau dan Perikatan Nasional (PN) telah memilih untuk meruntuhkan Demokrasi Berparlimen dengan cubaan pengisytiharan darurat bagi mengorbankan rakyat dan ekonomi negara demi menyelamatkan dirinya serta mengekalkan kekuasaan dengan apa cara sekalipun," katanya.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong hari ini bertitah bahawa Seri Paduka Baginda akan berunding dengan Raja-raja Melayu lain sebelum memutuskan pemberian kuasa darurat.

"Rakyat Malaysia memohon dan mendoakan untuk satu keputusan di mana suara rakyat biasa dapat didengar," katanya.