Pemimpin Muafakat Nasional diminta tidak buat kenyataan terbuka

Iklan
Mustapha Yaakub

SHAH ALAM - Veteran UMNO meminta semua pihak dalam Muafakat Nasional berhenti membuat kenyataan terbuka mengenai perkara yang melibatkan dasar dan tujuan penubuhan gabungan itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ia sewajarnya dibincangkan secara tertutup dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Muafakat Nasional supaya tidak timbul rasa kurang puas hati antara UMNO dan Pas.

Iklan
Iklan

"Saya merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang meminta penjelasan berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang ada ahli Parlimen daripada UMNO menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menubuhkan kerajaan.

"Saya berharap penjelasan Ahmad Zahid bahawa ahli Parlimen daripada UMNO menyokong Anwar tidak diambil kira sebagai satu kenyataan yang boleh merosakkan hubungan Muafakat Nasional atas alasan bahawa PN yang ada sekarang ini ialah kerajaan wujud atas dasar pakat ahli-ahli Parlimen bukan kerajaan yang wujud atas dasar parti," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, Takiyuddin pastinya faham dan tahu bahawa kerajaan PN wujud atas dasar ahli-ahli Parlimen berpakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tuntut penjelasan UMNO

Iklan

Sokongan UMNO kepada Anwar bersyarat, kata Dr Mahathir

Muhyiddin persoal jumlah sebenar ahli Parlimen sokong Anwar

"Kebetulan ahli-ahli Parlimen tersebut mewakili parti tetapi bukan kerajaan diwujudkan atas nama parti yang bergabung dalam satu gabungan untuk menubuhkan PN. Jangan kaitkan parti kerana parti tidak membuat keputusan.

"Apa yang penting sekarang ini ialah pemimpin UMNO dan Pas yang mendukung kuat Muafakat Nasional mesti bijak menangani isu yang mungkin timbul melibatkan kedua-dua parti lebih-lebih lagi isu tidak sahih," katanya.

Sementara itu, Mustapha mendakwa Anwar hanya berilusi apabila membuat kenyataan mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan.

"Beliau sangat terkenal dalam membuat pengumuman yang menggemparkan dan ia bukan pertama kali dibuat Anwar.

"Jadi, jika Pas dan UMNO menganggap ia sesuatu yang serius sehingga boleh menjejaskan hubungan kedua-dua parti, ia suatu perkara yang malang.

"Kita tidak mahu sebarang isu yang boleh merenggangkan Muafakat Nasional, jadi saya minta kedua-dua pihak berhenti membuat kenyataan terbuka dan menggunakan platform Muafakat Nasional untuk bertanya dan berbincang secara tertutup," katanya.