RM5 juta biasiswa pelajar cemerlang

Iklan
Satiful Bahri Mamat. Foto - Sinar Harian
KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta sebagai biasiswa kepada anak-anak Terengganu mendapat keputusan cemerlang melanjutkan pengajian dalam bidang keagamaan di luar negara bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, selain biasiswa kerajaan turut meluluskan peruntukan pinjaman yuran berjumlah RM10 juta kepada pelajar luar negara bermula Januari ini.

Menurutnya, kedua-dua peruntukan itu telah dibentangkan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Bajet Terengganu 2019 kelmarin dan pelajar yang layak boleh menghantar permohonan kepada Yayasan Terengganu (YT).

"Kerajaan negeri tidak lagi memberi tajaan kepada pelajar luar negara bidang agama khususnya di Mesir sejak tahun 2011 manakala pelajar di Jordan dan Maghribi bermula tahun 2015. Tapi dalam Bajet 2019 semalam, kerajaan negeri luluskan biasiswa RM5 juta dan pinjaman yuran RM10 juta.

"Oleh itu kita harap pelajar belajar bersungguh-sungguh untuk dapatkan biasiswa ini dan jika tidak dapat, mereka masih berpeluang mohon pinjaman yuran dan ini bukan hanya untuk pengajian agama, termasuk bidang perubatan juga,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ab. Razak Ibrahim (Pas-Air Putih) mengenai adakah kerajaan membiayai pengajian pelajar Terengganu di luar negara dalam bidang keagamaan dalam persidangan Dun, hari ini.

Satiful Bahri berkata, antara syarat permohonan bantuan pendidikan itu adalah pemohon atau salah seorang ibu bapa adalah anak Terengganu, mendapat keputusan minimum 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau agregat 3.5 bagi pelajar lulusan STPM dan STAM dan telah mendapat tempat di pusat pengajian tinggi.

Kerajaan negeri juga katanya masih meneruskan pemberian bantuan awal persediaan sebanyak RM1,000 kepada pelajar-pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi bagi ijazah pertama.

Sementara itu, menjawab soalan Maliaman Kassim (Pas-Ajil) mengenai rancangan kerajaan untuk memperkemaskan pendidikan di Madrasah Moden Maidam, beliau menjelaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat menambah jumlah madrasah tersebut.

Bagaimanapun menurut Satiful Bahri, tiga madrasah moden sedia ada di Besut, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu dikekalkan dan kerajaan akan menaik taraf infrastruktur dan kemudahan di sana khususnya madrasah Kuala Nerus sebagai keselesaan pelajar.

"Kerajaan juga bersetuju mengambil alih madrasah ini dan ia akan diurus tadbir oleh JHEAT (Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu),” katanya.