Invest Selangor sasar 3,000 perniagaan daftar Selangor Business Hub

Iklan
Chang Kim (dua dari kanan) bersama Hasan Azhari (dua dari kiri), Dr Nor Fuad (kanan) dan Norita (kiri) pada pelancaran Selangor Busness Hub di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam. Foto: Sinar Harian ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) menyasarkan untuk menarik 3,000 perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendaftar di inisiatif digitalisasi yang baru dilancarkan, Selangor Business Hub (SBH) dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, SBH adalah usaha pihaknya untuk menyediakan platform rangkaian maya bagi perniagaan di negeri itu dan membendung penguncupan ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

"Buat masa ini, sebanyak 300 syarikat dari 10 negara telah mendaftar. Platform ini dijangka dapat menyediakan saluran komunikasi lain untuk perniagaan terlibat dan rangkaian dengan pihak berkepentingan, terutama dari wilayah ini walaupun terdapat sekatan pergerakan kerana wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran Selangor Business Hub di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Iklan

Hadir dan merasmikan pelancaran itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Kim.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dr Nor Fuad Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor Incorporated, Norita Mohd Sidek.

Iklan

Hasan Azhari berkata, SBH juga dapat mempercepat penghijrahan aktiviti yang biasanya dilakukan secara fizikal ke dalam format maya.

"Kami akan terus memperbaiki tujuan dan strategi kami di Invest Selangor agar sejajar dengan usaha kerajaan negeri dalam mewujudkan visi Smart Selangor dan menjadi Smart Gateway kepada Asean,” katanya.

Sementara itu, Chang Kim berkata, BSH menunjukkan bahawa Selangor akan sentiasa berfikiran maju untuk memastikan PKS akan menyesuaikan diri dengan normal baharu dalam berniaga.

"Selangor merancang untuk menaikkan nilai rantaian untuk mencari jalan keluar daripada pandemik itu dengan menggunakan digitalisasi. Kami berkeyakinan bahawa lebih banyak inisiatif yang didedikasikan untuk tujuan ini akan diperkenalkan untuk faedah perniagaan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, SBH terdiri daripada tiga komponen utama yang merangkumi program Promosi Pelaburan Invest Selangor, sebuah portal yang menganjurkan semua persidangan maya dan webinar yang dianjurkan oleh Invest Selangor dan pertemuan maya dengan rakan kongsi atau pelabur yang berpotensi di seluruh rantau ini.

"Komponen kedua, Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Virtual Selangor, adalah format dalam talian alternatif daripada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) tahunan dan terdiri daripada Selangor International Expo (SIE), Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) dan Selangor Smart City dan Ekonomi Digital Konvensyen (SDEC).

"Komponen ketiga, Pusat Maya Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC), adalah pusat maklumat dan webinar untuk program yang dijalankan oleh SITEC, untuk memperluas jangkauan ke khalayak antarabangsa. Inisiatif ini memberi kejayaan untuk membolehkan Selangor mencapai wawasannya untuk menjadi sebuah negara pintar serantau utama di ASEAN menjelang 2025,” katanya.