WASHINGTON - Google memperkenalkan versi baharu kecerdasan buatan (AI) Gemini yang direka khusus untuk sektor peruncitan dalam talian, dengan matlamat memudahkan urusan pengguna daripada mencari produk hingga berurusan dengan khidmat pelanggan dalam satu aplikasi sahaja.
Gemini Enterprise for Customer Experience (CX) akan menggunakan penaakulan kompleks untuk memahami niat dan melaksanakan tugasan berbagai langkah bagi pihak pelanggan dengan mengambil kira keutamaan dan persetujuan mereka.
Ia juga membolehkan pengguna membeli-belah dan berinteraksi dengan perkhidmatan pelanggan tanpa perlu meninggalkan aplikasi Google.
Apabila pengguna terus menggunakan alat ini, mereka akan ditawarkan produk yang mencerminkan keutamaan mereka daripada syarikat yang telah mengguna pakai protokol baharu Google.
Gergasi carian dalam talian itu berkata ia telah pun menandatangani perjanjian dengan francais terkenal di Amerika Syarikat (AS) seperti rangkaian piza Papa John’s, kedai perkakasan Lowe’s, serta rangkaian pasar raya besar Walmart dan Kroger.
“Kami bekerjasama untuk memperibadikan setiap interaksi, memudahkan setiap keputusan, dan mengurangkan halangan dalam setiap titik sentuhan pelanggan,” kata Ketua Pegawai Digital dan Teknologi Papa John’s, Kevin Vasconi.
Walmart pula berkata, alat itu akan membantu syarikat tersebut menawarkan produk yang paling sesuai dengan keperluan pelanggan, sekali gus menukar carian produk kepada jualan dengan lebih kerap.
“Kami mahu membantu pelanggan mendapatkan apa yang mereka perlukan dan inginkan, bila dan di mana mereka mahukannya,” kata John Furner yang bakal dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Walmart.
Beliau turut menjanjikan pengalaman beli-belah yang lancar, lebih intuitif dan peribadi berbanding sebelum ini.
Google dan rakan kongsinya membuat pengumuman tersebut sempena bermulanya persidangan tahunan National Retail Federation iaitu persatuan perdagangan peruncitan terbesar di dunia, yang berlangsung di New York. -AFP