Polis cari dua lelaki bantu kes tipu jual, pindah milik tanah

Iklan
Tay Hock Seng dan Lee Chee Boon

SEREMBAN - Polis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes tipu penjualan dan pindah milik tanah melibatkan kerugian RM24 juta dan RM3 juta.

Individu berkenaan ialah Tay Hock Seng, 54, dan Lee Chee Boon, 41, yang masing-masing beralamat di Kawasan Perindustrian Sg Jawi di Kedah dan Rifle Range Flats di Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, Hock Seng dicari bagi membantu siasatan kes melibatkan seorang penolong pengurus besar sebuah syarikat di daerah ini pada Jun lalu.

"Pengadu membuat semakan dan mendapati tanah milik syarikat di Bandar Seremban 3, seluas 7.024 hektar telah dipindah milik kepada individu yang tidak dikenali iaitu suspek terbabit.

Iklan

"Semakan dibuat pengadu di Pejabat Tanah dan Galian Seremban turut mendapati tanah tersebut telah dipindah milik melalui Borang 14 A yang dibuat pada 14 Januari lalu dengan bayaran RM1.8 juta yang mengakibatkan pengadu kerugian RM24 juta mengikut nilai semasa tanah," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, semakan tanda tangan dua pengarah syarikat yang terdapat di dalam borang itu juga disyaki telah dipalsukan.

Iklan

Selain itu katanya, Chee Boon pula dikehendaki bagi membantu siasatan kes melibatkan penjualan dua bidang tanah milik sebuah syarikat di Mukim Linggi, Port Dickson pada empat tahun lalu.

"Kes itu menyebabkan pengadu telah mengalami kerugian RM3 juta akibat daripada penjualan tanah tersebut," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan dua lelaki berkenaan diminta menghubungi Asisten Superitendan Rosmaliah Khalit di talian 013-9443968 atau 06-7682222.