SEREMBAN - Wakil pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan mengesahkan hanya mereka yang mempunyai urusan rasmi sahaja dibenarkan memasuki ke Wisma Negeri.
Menurutnya, arahan berkenaan sememangnya telah lama dikeluarkan, namun mula dikuat kuasa sejak 18 September lalu.
"Jika terdapat sebarang sidang media, surat nota kepada pengarang dan kad perakuan media Jabatan Penerangan perlu ditunjukkan di Balai Pengawal bagi memudahkan urusan hadir di lokasi sidang media.
"Arahan ini telah lama berkuat kuasa. Cuma diperketat sejak 18 September 2026," katanya menerusi Whatsapp.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan media tidak dibenarkan memasuki Wisma Negeri di sini pada Isnin.
Pengawal keselamatan yang bertugas memaklumkan media hanya dibenarkan masuk sekiranya disahkan oleh pihak berkaitan yang ingin ditemui.
"Saya hanya ikut arahan ketua saja," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada kenderaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan(MMK) Negeri Sembilan yang didapati memasuki bangunan terbabit setakat jam 10 pagi.
Seorang lelaki dipercayai ketua pengawal keselamatan di situ turun mengesahkan arahan terbabit dan memberitahu media hanya dibenarkan masuk dengan surat kebenaran.
Situasi itu berlaku ketika perkembangan semasa membabitkan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan susulan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau berkata, perkara itu telah diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada mesyuarat 15 September lalu.
Lewat tengah malam tadi, media melaporkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan Exco berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Dalam pada itu, media setakat jam 10.30 pagi ini gagal mendapatkan perkembangan lanjut berhubung situasi terkini termasuk keberadaan Ismail.
Tinjauan Sinar Harian di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar turut tidak kelihatan kenderaan keluar masuk di situ.