ALOR GAJAH – Sebanyak 30 perahu berhias berkonsepkan patriotik menyusuri Sungai Linggi, di sini, bagi memeriahkan Festival Sungai Melaka 2026 yang julung kali dianjurkan di ketiga-tiga daerah negeri itu.
Pertunjukan perahu berhias edisi kedua berkenaan membabitkan komuniti nelayan dari Telok Berembang, Ramuan China Kechil, Paya Lebar, Sungai Timun dan Sungai Mati.
Jumlah berkenaan meningkat berbanding hampir 20 perahu pada penganjuran sebelumnya, sekali gus menyerlahkan penglibatan komuniti setempat dalam menjayakan festival berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, festival berkenaan bukan sekadar menghidupkan kawasan sungai sebagai lokasi riadah dan pelancongan, malah memberi manfaat ekonomi secara langsung kepada komuniti setempat.
“Sepanjang hampir tiga bulan penganjuran, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai program yang bukan sahaja menghiburkan, malah mengangkat keunikan budaya, warisan serta potensi sungai sebagai produk pelancongan Negeri Melaka.
“Penganjuran ini juga bukan sekadar memberi ruang kepada nelayan darat menampilkan kreativiti, malah menjadi platform PPSPM untuk mengeratkan hubungan dan memperkukuh kerjasama dengan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kerjasama berkenaan penting bagi menyokong operasi dan promosi Eco-Cruise Sungai Linggi, selain membuka peluang ekonomi kepada nelayan, peniaga dan penduduk sekitar.
Festival Sungai Melaka 2026 menghimpunkan lebih 30 acara berteraskan pelancongan, rekreasi, warisan, kebudayaan dan komuniti yang dianjurkan di Melaka Tengah, Jasin serta Alor Gajah.
Sepanjang penganjurannya, festival itu merekodkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada peniaga dan penduduk setempat.
Di Alor Gajah, antara aktiviti yang dianjurkan termasuk pertandingan memancing udang galah, dam aji, konda-kondi, busana cilik, tebar jaring, fun walk, plogging dan pertandingan memancing.
Shaharul Azuar berkata, program Festival Sungai Melaka di DUN Ayer Limau sahaja berjaya menarik hampir 3,000 pengunjung.
“Selain aktiviti menarik untuk seisi keluarga, festival ini turut membuka peluang ekonomi kepada peniaga dan penduduk setempat,” katanya.
Program bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Limau itu turut dihadiri ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Sementara itu, Sungai Rembau dan Sungai Linggi yang kaya dengan flora dan fauna serta dipenuhi pokok berembang turut dilihat berpotensi sebagai tarikan pelayaran malam berikutan kewujudan pelbagai spesies unggas dan kelip-kelip.
Di Jasin pula, festival mengetengahkan Melaka RC Power Boat Merdeka Race Open Challenge 2026 selain keindahan Tasik Chin Chin yang tenang dan menghijau, termasuk keunikan pokok periuk kera sebagai tarikan ekopelancongan.
Di Melaka Tengah, pelbagai acara dilaksanakan di sekitar Sungai Melaka dan Dataran Pengkalan Rama termasuk Pertandingan Memancing Sungai Melaka.
Festival itu turut mencatat dua pencapaian baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi rekod ‘Pembuatan Kuih Keria Terbanyak’ sebanyak 10,760 biji serta ‘Replika Konda-Kondi Terbesar’.
Majlis penyampaian sijil MBOR di Dataran Pengkalan Rama disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menurut Ab Rauf, pencapaian itu mencerminkan keunikan warisan negeri selain berpotensi memperkukuh sektor pelancongan berasaskan budaya tempatan.
Festival Sungai Melaka 2026 akan melabuhkan tirainya menerusi Festival Seni Selat dan Sungai Melaka yang berlangsung dari 18 hingga 20 September ini di Pantai Tanjung Bidara.
Antara aktiviti yang bakal diketengahkan termasuk jet ski, donut boat, banana boat, pertunjukan flyboard, perahu layar serta pengalaman menaiki Melaka Sea Cruise.