RANTAU PANJANG – Tragedi kemalangan di Jalan Pasir Mas Rantau Panjang, dekat Balai Bomba Rantau Panjang, lima tahun lalu bukan sahaja meragut masa depan seorang ibu tunggal di Simpang Tiga Kampung Bagus, malah tiga anaknya yang masih bersekolah.

Ketika nahas itu berlaku, Nora Wahab, 37, berkata, dia menunggang motosikal bersama anak bongsunya dari Gual Tinggi untuk pulang ke rumah.

Setibanya di tempat kejadian, motosikal ditunggang terbabas menyebabkan mereka terpelanting.

Akibat kemalangan itu, dia disahkan lumpuh dari paras dada ke kaki sementara anak bongsunya cedera ringan.

"Saya ingatkan saya cedera ringan, lama saya cuba angkat kaki tapi tak boleh.

"Saya nak meraung sekuat hati tapi tak terdaya sebelum tak sedarkan diri," katanya.

 Anak terpaksa berhenti sekolah

Nora yang kematian suami akibat leukemia pada 2001 berkata, dia kini terpaksa mengharapkan anak-anak dari segi kewangan dan keperluan harian.

Katanya, anak sulungnya, Mohamad Afiq Zakaria, 19, memikul tugas sebagai ketua keluarga dan bekerja sebagai pembantu kedai dekat sini.

"Anak kedua saya pula berhijrah ke Johor untuk tambah pendapatan keluarga.

"Setiap kali mahu ke tandas, anak bongsulah yang akan dukung dan mandikan saya. Dialah juga sediakan semua keperluan saya setiap hari," katanya.

Sementara itu, Mohamad Afiq berkata, sejak kemalangan menimpa ibunya itu, mereka adik beradik terpaksa berhenti sekolah dan bekerja bagi menyara kos perubatan ibunya.

Katanya, upah yang diterima digunakan untuk membeli lampin pakai buang, alatan mencuci luka dan ubat-ubatan.

"Ketika kemalangan itu, saya baru berumur 14 tahun, manakala adik kedua 12 dan bongsu 10 tahun.

"Saya memang nak belajar hingga ke universiti tapi saya sedar mak dan adik-adik lebih perlukan saya,” katanya.

Mohamad Afiq membantu mendukung ibunya hampir 10 meter ke tandas setiap hari

Menurutnya, ibunya sering meluahkan kebimbangan mengenai masa depan mereka.

"Tapi kami selalu beritahu mak mungkin ada rezeki lain pada masa akan datang," katanya.

Kelss lancar kutipan derma

Kesulitan yang dihadapi Nora mendapat maklum balas positif daripada Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (Kelss).

Wakil kelab, Akidi Hamid berkata, sebelum ini Nora terpaksa tidur di atas lantai beralaskan tilam, sekali gus menyebabkan masalah kesihatan lain seperti penyakit kulit, lebam dan kudis.

"Kelab melancarkan kutipan derma bagi mengumpulkan dana sebanyak RM6,000 selama dua minggu, bermula 21 April lalu.

Sebelum ini Nora terpaksa tidur atas lantai beralaskan tilam, sekali gus menyebabkan masalah kesihatan lain seperti penyakit kulit

"Alhamdulillah, kutipan melebihi sasaran apabila kita berjaya kumpul hampir RM16,000," katanya.

Ahli Kelss melawat dan bertanya khabar Nora sebelum menyampaikan sumbangan katil serta kerusi roda

Berbekalkan hasil kutipan itu, Akidi berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan bernilai RM6,000 berupa katil, tilam dan kerusi roda khas untuk pesakit terlantar.

Selain itu, katanya, sumbangan peralatan mencuci luka dan lampin pakai buang untuk kegunaan enam bulan turut diserahkan.

Baki sumbangan sebanyak RM9,800 disampaikan kepada Nora dan anak-anak bagi meringankan beban mereka pada masa depan.

Sumbangan boleh disampaikan kepada Mohd Afiq menerusi Bank Simpanan Nasional bernombor 03016-41-00010324-5

VIDEO ANDA MUNGKIN SUKA
VIDEO DARI SEMASA
VIDEO DARI DISKUSI