DURIAN TAWAR - Maahad Tahfiz Safa Marwah memerlukan dana tambahan kira-kira RM2.6 juta lagi untuk menyiapkan keseluruhan prasarana yang dirancang di tapak seluas 0.8 hektar, di sini.

Pengerusinya, Md Nawawi Mohammad berkata, setakat ini, terdapat dua bangunan sedang dibina iaitu bangunan Blok 2 dan masjid yang siap 85 peratus.

Menurutnya, sejak pembinaan maahad tahfiz itu dimulakan Mac tahun lalu, pihaknya menerima bantuan wang tunai dan bahan kos binaan termasuk peralatan berkaitan daripada orang ramai dan sumbangan itu masih diterima sehingga kini.

“Bagaimanapun, jumlah itu masih belum mencukupi untuk menampung kos keseluruhan pembinaan yang mencecah RM3 juta. Bagi bangunan Blok 2 dan masjid, kos pembinaan adalah RM370,000.

“Walaupun begitu, kita akan memulakan kelas untuk orang ramai Februari depan, di bahagian sayap kanan masjid ini dan orang ramai berpeluang belajar ilmu keagamaan selain membantu menyebarkan mengenai maahad tahfiz ini,” katanya ketika ditemui ditapak pembinaan Maahad Tahfiz Safa Marwah, di sini semalam.

Beliau berkata, pembinaan dilakukan secara berperingkat-peringkat berikutan sumber kewangan yang terhad.

Katanya, pihaknya merancang untuk membuka pengambilan seramai 20 pelajar pada 2018, sementara pengambilan penuh pada 2020, melibatkan 100 pelajar.

Sementara itu, Penasihat Maahd Tahfiz Safa Marwah, Ahmad Hakim Samsudin berkata, pembinaan Maahad Tahfiz Safa Marwah melibatkan tiga fasa yang membabitkan kepelbagaian prasarana yang mana fasa pertama sedang dalam pembinaan, fasa kedua pula membabitkan asrama pelajar dan kelas pengajian.

“Bagi fasa ketiga, kita rancang untuk bina dewan dan rumah guru termasuk 30 rumah pondok. Jadi, keseluruhan kos pembinaan ketiga-tiga fasa ini ialah RM3 juta.

“Maahad tahfiz masih memerlukan dana bagi menjanakan perancangan ini dan ia bakal menjadi pusat ilmiah islamik di daerah ini pada masa akan datang dan secara tidak langsung,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya menerusi akaun 1560 7604 1263 (Maybank Islamic) di atas nama Maahad Tahfiz Safa Marwah atau menghubungi pihak maahad tahfiz jika mahu membantu dalam bentuk peralatan atau bahan binaan.