Malaysia #QuranHour di Pulau Pinang capai objektif

Seramai 100 peserta yang menyertai Malaysia #QuranHour di Pulau Pinang tadi.
Seramai 100 peserta yang menyertai Malaysia #QuranHour di Pulau Pinang tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Penganjuran Malaysia #QuranHour di Pulau Pinang mencapai objektifnya walaupun diadakan dalam keadaan negara masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam keadaan normal baharu, Malaysia #QuranHour di Masjid Al Marbawi Merbau Kudung, Sungai Dua di sini meriah dengan kehadiran 100 peserta yang terdiri daripada jemaah masjid, anak tahfiz, petugas kerajaan dan ahli Rumah Ngaji.

Program tersebut dimeriahkan dengan tazkirah, bacaan doa dan bacaan surah Ar-Rahman ayat 1 hingga 16 dan surah al-Furqan ayat 63 hingga 77.

Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Mohd Taufek Abdul Rahman berkata, walaupun hanya mendapat kebenaran selama sejam untuk mengadakan Malaysia #QuranHour, pihaknya bersyukur kerana berjaya dilaksanakan dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, pihaknya amat menitikberatkan pematuhan SOP di kalangan peserta Malaysia #QuranHour pada kali ini.

"Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan negara masih dalam PKPP objektif penganjuran Malaysia #QuranHour tercapai.

"Kita juga amat menitikberatkan pematuhan SOP di kalangan peserta antaranya mengambil suhu badan di pintu masuk masjid dan penjarakan fizikal," katanya ketika ditemui di Masjid Al Marbawi Merbau Kudung, Sungai Dua di sini tadi.

Beliau berkata, sebelum ini, penganjuran Malaysia #QuranHour disertai lebih 2,000 peserta namun pihaknya akur dengan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah peserta bukan halangan untuk kita menjayakan Malaysia #QuranHour. Walaupun dihadkan hanya 80 hingga 100 orang sahaja, kita bersyukur ia tetap boleh diadakan walaupun masa hanya sejam iaitu dari jam 9 hingga 10 pagi.

"Kita faham, ia bagi menjaga keselamatan dan kesihatan peserta daripada sebarang risiko. Bagaimanapun, kita berharap ia dapat menarik minat masyarakat untuk lebih banyak meluangkan masa dengan membaca dan menghayati al-Quran lebih-lebih lagi ketika kita semua berdepan cabaran pandemik ini," katanya.