Pamer cinta kepada negara

Mohd Zuki bersama pegawai tertinggi kerajaan mengibarkan Jalur Gemilang pada Program KSN@Merdeka Bersama Penjawat Awam sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Putra kelmarin. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohd Zuki bersama pegawai tertinggi kerajaan mengibarkan Jalur Gemilang pada Program KSN@Merdeka Bersama Penjawat Awam sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Putra kelmarin. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PUTRAJAYA - Rakyat perlu menterjemahkan perasaan cinta kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman atau ruang pejabat masing-masing sepanjang sambutan bulan kebangsaan tahun ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, penganjuran acara sambutan yang dilaksanakan pelbagai agensi kerajaan dilihat masih belum mencukupi.

“Beberapa hari lagi, seluruh rakyat Malaysia bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan negara di mana sepanjang bulan kebangsaan, pelbagai program diadakan bermula dengan sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara yang dilancarkan pada 9 Julai 2020 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ia disusuli dengan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2020 pada 28 Julai 2020 di Dataran Perdana, Putrajaya.

“Seterusnya, sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan pada 31 Ogos 2020 bertempat di Dataran Pahlawan, Putrajaya dan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak pada 16 September 2020. Bagaimanapun, penganjuran acara-acara ini belum mencukupi, sebaliknya ia perlu diterjemah melalui penglibatan rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Mohd Zuki (dua dari kanan) menyerahkan bendera kepada Mohd Khairul Adib sebagai simbolik perasmian Program KSN@Merdeka Bersama Penjawat Awam sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Putra hari kelmarin. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohd Zuki (dua dari kanan) menyerahkan bendera kepada Mohd Khairul Adib sebagai simbolik perasmian Program KSN@Merdeka Bersama Penjawat Awam sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Putra hari kelmarin. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Beliau berkata demikian pada Program KSN@Merdeka Bersama Penjawat Awam sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Putra di sini kelmarin.

Serentak dengan itu juga, acara pelepasan Konvoi Info on Wheels (IOW) Merdeka juga diadakan dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Suriani Ahmad serta ketua-ketua jabatan lain.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Zuki berkata, bersesuaian dengan situasi semasa pandemik Covid-19 yang belum pulih ketika ini, semua acara sambutan diadakan dalam skala yang kecil bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Semangat patriotik

Sementara itu, Suriani ketika ditemui berkata, Program KSN@Merdeka Bersama Penjawat Awam itu merupakan acara yang julung kali diadakan.

Katanya, program itu dilaksanakan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan penjawat awam.

“Kita harap penjawat awam dapat gelorakan lagi sambutan bulan kebangsaan yang mana akan disambut beberapa hari lagi,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai IOW yang dilaksanakan di bawah Jabatan Penerangan Malaysia, Suriani berkata, inisiatif itu merupakan salah satu cara untuk jabatan tersebut menyampaikan maklumat secara jelas kepada masyarakat.

Katanya, kenderaan Jabatan Penerangan akan menjelajah ke seluruh tempat di semua negeri membawa bendera bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.

“Selain itu, kumpulan konvoi ini juga akan mengadakan aktiviti di tempat-tempat tertentu bagi memberi pengetahuan dan kesedaran kepada rakyat agar menambahkan lagi semangat cintakan negara,” katanya.

Contoh terbaik

Timbalan Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Sukari Hamid pula berkata, semua kakitangan Jabatan Penerangan digalakkan untuk mengibarkan bendera di kediaman dan kenderaan masing-masing sebagai tanda cintakan tanah air.

Katanya, selaras dengan usaha yang dilaksanakan jabatan itu untuk memperkukuhkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, kakitangannya juga tidak terkecuali untuk memberikan contoh terbaik.

“Sebagai tanda berjiwa patriotik, yang paling mudah untuk dilakukan adalah dengan mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah, tempat kerja atau kenderaan dan sebagainya.

“Itu adalah salah satu cara untuk menzahirkan semangat cintakan negara terutamanya pada bulan kemerdekaan ini,” katanya.

Mohd Zuki melepaskan kumpulan Konvoi Info on Wheels. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohd Zuki melepaskan kumpulan Konvoi Info on Wheels. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Selain itu, katanya, banyak aktiviti atau program yang lebih bersasar iaitu di peringkat komuniti diadakan bagi memastikan rakyat pelbagai peringkat sentiasa diberi kesedaran dan dilibatkan dalam aktiviti sedemikian.

Beliau bagaimanapun menegaskan, setiap aktiviti dijalankan akan mematuhi setiap SOP ditetapkan bagi memastikan usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 dapat dilaksana dengan jaya.

“Kita sedar dalam keadaan sekarang, mungkin sambutan atau aktiviti tidak boleh dilakukan seperti sebelum ini, namun itu tidak bermakna kita kena kendurkan semangat cintakan negara.

“Jadi, sebagai tanda kecintaan kita kepada negara, kibarkan Jalur Gemilang,” katanya.