X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan sasar kutipan Tabung Pahlawan lebih RM10 juta

Ismail Sabri (empat dari kiri) dan Noorainee (empat dari kanan) bersama pegawai tertinggi ATM pada Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 di Sri Pentas, Rabu lalu. - Foto: ROSLI TALIB
A
A

PETALING JAYA - Kerajaan menyasarkan kutipan lebih RM10 juta menerusi Kempen Tabung Pahlawan 2020 yang akan membantu Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga mereka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran itu melebihi sasaran tahun lalu dan hasil kutipan bakal dimanfaatkan lebih 10,000 Veteran ATM yang memerlukan.

“Walaupun negara kini berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat pandemik koronavirus (Covid-19) namun ia tidak membataskan pergerakan aktiviti mengumpul dana apabila kempen ini juga giat dilaksanakan menerusi media cetak, elektronik dan media sosial untuk menghebahkan usaha ini.

“Jadi sebab itu kita mengharapkan setiap individu dapat menghulurkan sumbangan, sama ada banyak atau sedikit ia bukan menjadi persoalan tetapi apa yang lebih penting adalah keikhlasan kita untuk menyumbang dan menghargai perjuangan Veteran ATM ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 yang disempurnakan isteri Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selaku Penaung Kempen Tabung Pahlawan di Sri Pentas, Bandar Utama di sini Rabu lalu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah; Timbalan Panglima Tentera Udara Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, objektif kempen itu adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat tentang pengorbanan dilakukan oleh Veteran ATM yang mempertahankan negara daripada pendudukan Jepun, ancaman pengganas komunis dan sebagainya.

Katanya, negara tidak akan berjaya seperti hari ini tanpa pengorbanan Veteran ATM dan rakyat perlu diingatkan bahawa jasa mereka tidak boleh dilupakan.

“Mungkin ramai dalam kalangan anak muda tidak sedar atau tidak arif tentang perjuangan. Jadi kita mahu rakyat sedar khususnya generasi muda bahawa apa yang kita kecapi dan nikmati hari ini adalah hasil daripada perjuangan dan pengorbanan mereka.

“Selain mengutip sumbangan kita juga mahu rakyat insaf dan sedar bahawa di sebalik apa yang kita nikmati hari ini ramai yang terkorban.

“Ada dalam kalangan mereka (Veteran ATM) mengalami pelbagai kecederaan termasuklah kecederaan kekal sehingga tergolong dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya,” katanya.

Noorainee (dua dari kiri) memberi sumbangan ketika Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 di Sri Pentas, Rabu lalu. - Foto: ROSLI TALIB
Noorainee (dua dari kiri) memberi sumbangan ketika Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 di Sri Pentas, Rabu lalu. - Foto: ROSLI TALIB

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan JHEV ATM sentiasa memantau permasalahan yang berlaku dalam kalangan ahlinya dan menyalurkan bantuan sewajarnya.

Katanya, JHEV ATM turut menggerakkan program Cakna Veteran atau prihatin veteran dalam menyalurkan bantuan dari masa ke masa di seluruh negeri.

“Melalui program ini juga saya turut berkesempatan turun ke negeri-negeri untuk menyalurkan bantuan dan mendengar permasalahan yang dihadapi mereka seperti masalah sakit terlantar, masalah perumahan dan sebagainya.

“Tahun ini juga kita telah menaikkan nilai sumbangan daripada RM5,000 sehingga RM10,000 bagi Veteran ATM yang ditimpa bencana seperti banjir dan kebakaran.

“Justeru, kita mengharapkan orang ramai dan syarikat-syarikat korporat tampil untuk sama-sama menghulurkan sumbangan agar lebih ramai Veteran ATM dapat dibantu,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengharapkan agar golongan Veteran ATM yang masih belum mendaftar sebagai ahli JHEV ATM agar tampil berbuat demikian untuk mendapat pelbagai manfaat dan bantuan.

Kempen Tabung Pahlawan
Kempen Tabung Pahlawan

Katanya, sehingga kini seramai 90,000 ahli sudah mendaftar bersama JHEV ATM dan dianggarkan jumlah keseluruhan Veteran ATM adalah lebih 300,000 orang.

“Veteran ATM ini pula terbahagi kepada dua kumpulan iaitu berpencen dan tidak berpencen. Veteran ATM yang tidak berpencen ini dianggarkan lebih 100,000 orang.

“JHEV ATM kini sedang merancakkan kempen pendaftaran ahli-ahlinya untuk memudahkan bantuan disalurkan kepada mereka dan saya harap setiap Veteran ATM kita dapat mendaftar,” katanya.

Justeru, katanya, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Kempen Tabung Pahlawan 2020 yang bermula Rabu lalu boleh berbuat demikian dengan melayari laman web http://tabungpahlawan.jhev.gov.my untuk sumbangan secara dalam talian atau melalui perbankan menerusi AFFIN BANK atas nama akaun Tabung Rayuan Hari Pahlawan (105950003201) dan CIMB ISLAMIC atas nama Yayasan Veteran ATM (10350000253332).

Kempen yang akan berlangsung sehingga penghujung tahun itu tidak melantik mana-mana ejen untuk tujuan mengutip dana.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!