Jalur Gemilang popularkan restoran


Wan Rahimi memperbetulkan replika bunga raya dan wau bulan yang diperbuat daripada Jalur Gemilang sebelum menghiasi kedainya semalam.
Wan Rahimi memperbetulkan replika bunga raya dan wau bulan yang diperbuat daripada Jalur Gemilang sebelum menghiasi kedainya semalam.
A
A
A

KUANTAN - Cetusan semangat cintakan negara yang berkobar-kobar membuatkan seorang pemilik restoran di sini mengambil inisiatif menghiasi kedainya dengan lebih 500 helai Jalur Gemilang pelbagai saiz.

Pemilik restoran, Wan Rahimi Wan Mokhtar, 58, berkata, selain menzahirkan kecintaannya terhadap negara, bendera yang dipasang itu kini menjadi identiti unik kepada restorannya yang terletak di Peramu di sini.

Katanya, beliau mula menghias restorannya dengan Jalur Gemilang sejak 20 tahun lepas dan sehingga kini, restoran itu sentiasa menjadi perhatian masyarakat terutama menjelang sambutan Hari Kebangsaan termasuk pada tahun ini.

"Setiap tahun menjelang Hari Kebangsaan, saya akan menambah sedikit demi sedikit Jalur Gemilang di kedai manakala yang sudah buruk akan saya gantikan dengan bendera baharu.

"Niat utama saya memang mahu menunjukkan semangat patriotik terhadap negara namun secara tidak langsung, pelanggan mula memanggil restoran saya sebagai kedai Mie Merdeka yang membuatkan ia dikenali ramai," katanya ketika ditemui di restorannya di sini semalam.

Ditanya kos yang dikeluarkan untuk pemasangan ratusan Jalur Gemilang itu, beliau berkata, agak sukar untuk menganggarkan kos keseluruhan kerana bendera berkenaan silih berganti setiap tahun.

"Tetapi jika dikira sejak 20 tahun lepas, saya sudah mengeluarkan kira-kira RM40,000 secara keseluruhan dengan bendera paling besar yang ada sekarang adalah sepanjang 10 meter," katanya.

Wan Rahimi berkata, inisiatif menghiasi restorannya dengan Jalur Gemilang turut memberi peluang kepada beliau untuk dicalonkan dalam Pertandingan Keceriaan Merdeka mewakili negeri Pahang sebanyak enam kali.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan sesetengah pihak yang didakwa menggantung Jalur Gemilang secara terbalik, beliau berkata, ia adalah tindakan tidak wajar yang akan memberi imej buruk terhadap negara terutama daripada pandangan masyarakat luar.

"Saya harap jika ada pihak yang melakukan perkara itu, hentikanlah kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan," katanya. - Bernama