Lelaki lembut dakwa disamun dua warga Bangladesh

Suspek warga Bangladesh yang diburu polis.
Suspek warga Bangladesh yang diburu polis.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis sedang memburu dua lelaki warga Bangladesh kerana melakukan samun terhadap seorang lelaki berperwatakan wanita di tepi Jalan Kampung Gambut, Punggai, Pengerang, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 5 petang, mangsa yang berusia 17 tahun turut mendakwa diculik dan ada percubaan 'rogol' terhadapnya oleh dua suspek itu yang berusia dalam lingkungan 30an.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, dalam kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di tangan kiri dan kaki kanan akibat dipukul suspek.

"Suspek juga telah mengambil telefon bimbit, wang tunai RM200 serta dokumen diri milik mangsa.

"Kes ini telah tular dalam media sosial yang memaparkan gambar mangsa yang dikatakan telah diculik dan cubaan 'rogol' terhadapnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, siasatan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki berperwatakan wanita dan mengenali suspek melalui aplikasi Michat.

Tambah beliau, mangsa sebelum itu keluar dengan suspek dengan kerelaan sendiri bagi tujuan menemani lelaki warga asing itu untuk membeli barang keperluan di sebuah pasar raya di Bandar Penawar.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebatan.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, pihak polis sedang mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Syukor menerusi talian 011- 10823779.