X

Kindly register in order to view this article
!

Enam Bahagian Bersatu Kedah bakal dibubarkan

Anuar (tiga dari kanan) menunjukkan surat akuan keluar parti yang diserahkan Ahli Bersatu Bahagian Merbok pada sidang akhbar di Sungai Petani hari ini.
A
A

SUNGAI PETANI - Enam daripada 15 Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kedah didakwa akan dibubarkan setelah ahlinya hilang kepercayaan terhadap Presiden parti selain menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Timbalan Pengerusi Bersatu Kedah merangkap Ketua Bahagian Bersatu Merbok, Mejar Anuar Abdul Hamid mendakwa, enam bahagian terbabit termasuk Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Merbok, Kulim Bandar Baharu dan Alor Setar.

"Kita yakin lebih banyak bahagian berhasrat untuk keluar parti kerana tidak bersetuju dengan tindakan Presiden serta Ahli Majlis Tertinggi yang telah mengkhianati perjuangan parti, mengkhianati mandat rakyat serta kembali bersama pencuri, perompak, perasuah dan penyamun," katanya pada sidang akhbar di Jeti Semeling di sini hari ini.

Hadir sama, peguam Dr Mahathir, Hanif Khatri Abdulla; Ketua Bersatu Bahagian Kulim Bandar Baharu, Datuk Azimi Daim dan Ketua Bersatu Bahagian Jerai, Akramsyah Muamar Ubaidah Sanusi.

Pada sidang akhbar itu, Anuar bersama ahli jawatankuasa bahagian, ketua cawangan, ahli sayap Armada dan Srikandi Merbok membabitkan 18 dari 19 cawangan keseluruhannya mengisytiharkan meletak jawatan dan keluar parti serta-merta.

Anuar berkata, kesemua mereka bertindak sedemikian bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Dr Mahathir dan bersedia menyertai parti baharu yang diasaskan mantan Perdana Menteri itu.

Menurutnya, Bersatu Bahagian Merbok ditubuhkan secara rasmi pada 1 Disember 2016 dengan kekuatan 19 cawangan dan keahlian seramai 4,173 orang yang merupakan jumlah keahlian paling ramai dalam negara.

Setakat hari ini, katanya, seramai 120 ahli Bersatu Merbok telah menandatangani dokumen dan menyerahkan surat akuan keluar parti selain yakin lebih ramai akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Semalam, seramai 22 Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Langkawi mengumumkan letak jawatan.

Timbalan Ketua Bahagiannya, Shukor Bahari berkata, peletakan jawatan dan keluar parti beramai-ramai itu berkuat kuasa serta-merta.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!