Kecederaan bukan penghalang Ziyad

Mohamad Ridzuan (kiri) dan Muhammad Ziyad yang juga duta bagi produk sukan ASICS bersama sewaktu pelancaran 'ASICS Concept Store' di Pavillion Kuala Lumpur, semalam. - Foto Bernama
Mohamad Ridzuan (kiri) dan Muhammad Ziyad yang juga duta bagi produk sukan ASICS bersama sewaktu pelancaran 'ASICS Concept Store' di Pavillion Kuala Lumpur, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang sedang bergelut dengan kecederaan belakang sejak lapan bulan lalu, yakin mampu mempertahankan gelaran juara dunia dengan memperbaharui rekod dunia di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Doha, Qatar, awal November ini.

Atlet berusia 28 tahun itu juga turut meluahkan impian untuk sekali lagi mencabar atlet normal di Sukan SEA pada edisi Filipina bermula 30 Nov ini, selepas meraih gangsa pada edisi lalu di Kuala Lumpur pada 2017.

"Kecederaan belakang berlarutan kerana otot koyak sebanyak 4cm...Walaupun kesakitan itu kadang-kadang memang teruk sehingga menyebabkan saya rasa nak terus tidur sahaja, tetapi saya sudah biasa kerana bergelut dengan kecederaan ini sejak Jun lepas.

"Sekarang saya dah mula menjalani latihan seperti biasa walaupun ada rasa sakit. Harap semuanya menjadi pada Kejohanan Dunia nanti dan saya sasar untuk membuat lontaran melebihi jarak 17.5 meter," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran kedai konsep Asics di Pavilion, di sini semalam.

Ziyad yang bertanding dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran), bakal melakukan penampilan keempat di Kejohanan Dunia selepas meraih emas pada tahun 2013 dan 2017, manakala pada 2015 terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Beliau memperbaharui rekod dunianya dengan catatan 17.29m di edisi London pada 2017, dengan memadam catatan 16.84m yang dilakukannya ketika meraih emas Sukan Paralimpik Rio 2016.

Ziyad juga menduduki ranking nombor satu acara lontar peluru di Malaysia sejak Sukan Sea 2017, yang turut menyaksikan beliau melakukan lontaran sejauh 17.12m, mengatasi rakan senegaranya Adi Alifuddin Hussin yang menduduki tempat keempat di Stadium Nasional (16.44m).

"Walaupun menduduki tempat pertama negara, saya tetap mahu meraih kelayakan secara merit, bukannya menggunakan kaedah lain atau dengan meraih simpati," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi atlet para negara, Mohamad Ridzuan Puzi turut berhasrat untuk mempertahankan kejuaraan dunianya, selain mahu memperbaharui rekod dunia.

"Saya akan bekerja keras untuk mempertahankan gelaran dunia kerana memang jangka akan menerima saingan sengit daripada atlet dari China, Yang Yifei," kata pemenang pingat emas acara 100m T36 (celebral palsy) Paralimpik Rio dan Kejohanan Dunia 2015.

Pelari pecut berusia 31 tahun itu juga akui bahawa kejayaan meraih anugerah Atlet Lelaki Para Terbaik Asia 2018 selepas memenangi tiga emas menerusi acara 100m, 400m dan lompat jauh T36 Sukan Para Asia di Jakarta, turut menyuntik semangatnya untuk berusaha keras.

Dalam pada itu, Pengurus Asics Malaysia (Country Manager), Boon Tib berkata butik kelapan dengan keluasan 2,360 kaki persegi merupakan kedai konsep terbesar milik syarikat barangan sukan berasal dari Jepun itu di Malaysia. - Bernama