PM tak tahu kontrak ECRL dengan CCCC batal

Perdana Menteri ketika ditemui pemberita, hari ini. - Foto Sinar Harian
Perdana Menteri ketika ditemui pemberita, hari ini. - Foto Sinar Harian
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak tahu mengenai pembatalan kontrak Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan syarikat China Communications Construction Company (CCCC) seperti yang dilaporkan sebuah media asing minggu lepas.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu kerana baru pulang ke tanah air daripada lawatan kerja di luar negara.

"Saya tidak tahu ia dibatalkan tapi salah satu cara kita menangani masalah ini ialah dengan menamatkan kontrak tapi bila kita tamatkan kontrak kita kena bayar pampasan banyak bilion," katanya.

Beliau ditanya mengenai satu laporan yang menyatakan kontrak ECRL dengan syarikat CCCC dibatal yang memetik sumber dalaman Menteri Kewangan.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata, perkara itu akan dibincangkan pihaknya.

Beliau ditemui selepas selepas melancarkan Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam di sini, hari ini.

Dalam laporan media asing itu baru-baru ini, Malaysia kini sedang mencari kontraktor baharu bagi menerajui projek ECRL, selepas menamatkan penganugerahan kontrak kepada CCCC.

Antara syaratnya kontraktor baharu itu mampu menawarkan kos membina ECRL tetapi pada harga separuh daripada kos projek yang dianggarkan RM81 bilion.

Artikel Berkaitan:

Kerja-kerja pembinaan laluan kereta api sepanjang 688km yang menghubungkan pantai timur dan pantai barat Semenanjung ditangguhkan pada Julai lepas ketika kerajaan mengkaji semula projek-projek mega pentadbiran lepas.