Prasarana hargai pemandu bas tolong mangsa banjir

Video yang tular memaparkan tindakan pemandu bas berkenaan membantu memindahkan seorang penduduk yang terlantar sakit.
Video yang tular memaparkan tindakan pemandu bas berkenaan membantu memindahkan seorang penduduk yang terlantar sakit.
A
A
A

KAJANG - Pihak Pengurusan Prasarana Malaysia (Prasarana) menghargai usaha seorang pemandu bas perantara MRT yang membantu seorang mangsa banjir kilat, semalam.

Video memaparkan tindakan pemandu Rapid Bus Sdn Bhd itu, Izan Shah Samsuddin, 33, telah tular di media sosial selepas dia membantu memindahkan seorang penduduk yang terlantar sakit.

Prasarana dalam satu kenyataan berkata, ketika itu Izan Shah yang telah tiga tahun berkhidmat sedang memandu bas menghala Hub MRT Kajang.

"Ketika melalui Taman Bangi kira-kira jam 9.50 malam, sekumpulan penduduk melambaikan tangan ke arah bas perantara MRT yang melalui kawasan tersebut. Paras air ketika itu mencecah paras lutut dan kenderaan ringan tidak boleh melaluinya.

"Beliau kemudian memberhentikan bas setelah melihat penduduk sedang mengusung mangsa banjir yang telantar sakit di atas pengusung. Mangsa dibawa menaiki bas hingga ke kawasan selamat sementara menunggu pasukan perubatan tiba," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihak pengurusan Prasarana menghargai tindakan tersebut dan turut berterima kasih kepada pemandu bas serta penduduk setempat yang memberikan bantuan kecemasan kepada penduduk dilanda banjir kilat semalam.

Artikel Berkaitan: