Harimau Malaya uji kekuatan Bahrain

Harimau Malaya bakal berdepan pasukan ranking ke-99 dunia, Bahrain pada aksi pemanas badan di tempat lawan pada 2 Oktober ini. - Foto Facebook FAM
Harimau Malaya bakal berdepan pasukan ranking ke-99 dunia, Bahrain pada aksi pemanas badan di tempat lawan pada 2 Oktober ini. - Foto Facebook FAM
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya bakal berdepan pasukan ranking ke-99 dunia, Bahrain pada aksi pemanas badan di tempat lawan pada 2 Oktober ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata perlawanan persahabatan itu medan persediaan skuad kebangsaan sebelum berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi keenam Kumpulan G pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di tempat lawan, 8 Oktober nanti.

Bagaimanapun katanya, badan induk itu perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan untuk terbang ke Bahrain memandangkan kerajaan masih menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Baru-baru ini, FAM dan Bahrain FA sudah mencapai persetujuan secara lisan untuk mengadakan aksi persahabatan di tempat lawan, namun kita perlu menunggu lampu hijau daripada kerajaan sebelum terbang ke sana.

“Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dijangka memanggil beberapa pemain bagi menjalani latihan pusat, seminggu sebelum mereka terbang ke Bahrain,” kata Stuart baru-baru ini.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di tempat lawan yang menyaksikan Malaysia tewas 0-1.

Selepas aksi berdepan UAE, Malaysia dijadual melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober sebelum menamatkan pusingan awal kelayakan menentang Thailand di Bangkok pada 17 November ini.

Malaysia kini berada pada kedudukan selesa di tangga kedua Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Hanya UAE yang berada di tangga keempat dengan enam mata memiliki kelebihan satu aksi sementara pendahulu, Vietnam unggul dengan 11 mata diikuti Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata) dan Indonesia tercorot tanpa sebarang mata.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini menangguhkan kesemua perlawanan kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sejak Mac lepas susulan penularan pandemik Covid-19.