Mangga Pakistan dipasarkan di semua kedai Mydin

Amna (dua dari kanan) dan Ameer (dua dari kiri) menunjukkan mangga berkualiti dari Pakistan selepas melancarkan Promosi Mangga Pakistan di Mydin USJ, Subang Jaya semalam.
Amna (dua dari kanan) dan Ameer (dua dari kiri) menunjukkan mangga berkualiti dari Pakistan selepas melancarkan Promosi Mangga Pakistan di Mydin USJ, Subang Jaya semalam.
A
A
A

SUBANG JAYA - Syarikat pemborong dan peruncit tempatan terbesar Malaysia, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) akan mempromosi dan memasarkan mangga Pakistan di semua cawangannya di seluruh negara.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, inisiatif itu dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur menerusi Kempen Promosi Mangga Pakistan 2020.

Beliau berkata, dengan kerjasama yang dijalinkan itu, mangga berkualiti Pakistan akan dijual di semua kedai Mydin mulai hari ini.

“Kita hargai peluang yang diberikan Suruhanjaya Tinggi Pakistan kepada Mydin menerusi kerjasama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Promosi Mangga Pakistan yang dirasmikan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan, Amna Baloch di Mydin USJ di sini semalam.

Pelancaran itu diadakan sempena Festival Mangga Pakistan anjuran Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur dengan sokongan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP).

Penganjuran festival itu sebelum ini berjaya memberi pendedahan dan membuka pasaran mangga Pakistan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ameer berkata, latar belakang Mydin yang bertapak sejak 63 tahun lalu sebagai pemborong dan peruncit terbesar negara dengan kutipan jualan tahunan sebanyak kira-kira RM12.8 bilion akan dapat membantu memasarkan mangga Pakistan secara lebih meluas.

Artikel Berkaitan:

“Diharap kerjasama yang terbentuk ini diperluaskan lagi bukan hanya untuk memasarkan mangga tetapi untuk produk berkualiti lain dari Pakistan,” katanya.

Sementara itu, Amna berkata, promosi itu bertujuan memberi peluang rakyat Malaysia menikmati keenakan rasa mangga Pakistan.

“Kita menyusun satu siri promosi mangga Pakistan di rangkaian pasar raya Mydin iaitu Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor; Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Mydin Seremban 2, Negeri Sembilan sepanjang musim mangga.

“Kerjasama bersama Mydin akan diteruskan lagi dengan memperkenalkan produk Pakistan yang lain di pasaran Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia akan bekerjasama erat dengan TDAP untuk memperkenalkan barang Pakistan di Malaysia dan mempelbagaikan import dari Pakistan kerana rakyat Malaysia sangat berminat dengan barang berkualiti dari negara berkenaan.

Dalam pada itu, Kaunselor Perdagangan dan Pelaburan Suruhanjaya Tinggi Pakistan, Shafqat Ali Khan Niazri berkata, Pakistan adalah negara pengeluar mangga keenam terbesar dunia dengan jumlah pengeluaran tahunannya sebanyak 1.8 juta tan metrik.

“Pakistan menduduki tangga kelima terbesar dunia dari segi jumlah eksport.

“Malaysia pula mengimport sebanyak 51,158 tan metrik mangga setiap tahun dan daripada jumlah itu sebanyak 334 tan metrik diimport dari Pakistan,” katanya.