Ada perbincangan penjajaran semula projek ECRL: Mustapa

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Gambar kecil: MUSTAPA
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Gambar kecil: MUSTAPA
A
A
A
PUTRAJAYA - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkan wujud perbincangan mengenai penjajaran semula bagi projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Bagaimanapun menurutnya, setakat ini tiada sebarang keputusan dibuatkan mengenai perkara itu.

"Ya ada perbincangan antara kerajaan dengan pihak yang terbabit dan ia masih dalam proses," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, perbincangan tersebut diketuai oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

"Apa-apa boleh tanya Kementerian Pengangkutan," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan kerajaan akan menanggung lebihan RM20 bilion berikutan penjajaran semula ECRL, beliau meminta pemberita merujuk perkara itu kepada Kementerian Pengangkutan (MOT).

"Tanya MOT, belum ada keputusan," katanya.

Terdahulu, kerajaan dilapor sedang mempertimbangkan kemungkinan mengembalikan jajaran ECRL kepada asal seperti sebelum ini di bawah pentadbiran BN.

Pengembalian semula jajaran melibatkan bahagian C iaitu jajaran bahagian Lembah Klang yang menghubungkan Pelabuhan Klang.
Artikel Berkaitan: