X

Kindly register in order to view this article
!

Alumni sekolah diseru bantu beli alat pengimbas haba

Alat pengimbas haba mampu merekodkan suhu badan dalam tempoh singkat. - Foto 123RF
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Golongan ibu bapa pelajar, alumni sekolah dan individu wajar berganding bahu mengumpul dana bagi membeli alat pengimbas haba inframerah bagi memudah dan melancarkan perjalanan sesi persekolahan di Malaysia.

Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, langkah itu juga perlu dilaksanakan demi keselamatan pelajar apabila sesi persekolahan bermula tidak lama lagi.

“Sebagaimana kita tahu, pihak sekolah telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang digariskan Kementerian Pendidikan ketika pelajar Tingkatan 5 dan 6 memulakan sesi persekolahan.

“Mungkin pengimbas haba digital sahaja digunakan di sekolah-sekolah kebangsaan ini. Jika kita lihat, pelajar Tingkatan 5 dan 6 tidak begitu ramai. Jadi, kerja mengambil suhu pelajar tidak memakan masa yang lama.

“Bagaimanapun, selepas ini semua pelajar akan memulakan persekolahan dan kita dapat bayangkan berapa lama masa yang perlu diambil dan tenaga kerja yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Alimuddin Mohd Dom
Alimuddin Mohd Dom

Alimuddin berkata, penggunaan pengimbas haba inframerah itu dapat meringankan tugas pihak pentadbiran selain mengurangkan kesesakan di pintu masuk sekolah.

“Mengikut normal baharu, elemen penjarakan sosial perlu wujud dan kita takut dalam keadaan bersesak untuk mengambil bacaan suhu, ia memberi risiko kepada anak-anak.

“Selain penggunaan pengimbas suhu inframerah, pengimbas suhu digital boleh digunakan bersama bagi melancarkan perjalanan pelajar untuk memasuki sekolah atau bilik darjah.

“Dengan alat ini, tugas pentadbir sekolah dapat diringankan, pelajar juga kurang berisiko dan lebih cepat,” katanya.

Individu hanya perlu melalui alat pengimbas haba berkenaan tanpa perlu menunggu untuk tempoh yang lama.
Individu hanya perlu melalui alat pengimbas haba berkenaan tanpa perlu menunggu untuk tempoh yang lama.

Beliau berkata lagi, rakyat Malaysia kini mempunyai kumpulan WhatsApp alumni sekolah dan ia merupakan platform terbaik untuk menyebarkan atau menggerakkan usaha mengumpul dana.

“Apabila ada seorang daripada ahli kumpulan WhatsApp alumni sekolah memulakan usaha mengumpul dana, saya fikir ramai akan turut serta menyumbang.

“Sudah tiba masanya alumni-alumni ini menabur bakti kepada sekolah mereka dahulu demi kesenangan dan keselesaan generasi baharu,” katanya.

Sementara itu, Tokoh Akademik Negara, Tan Sri Zakri Abdul Hamid menyarankan agar satu gerakan secara besar-besaran dilaksanakan oleh semua pihak termasuk ibu bapa dan alumni bagi membantu sekolah.Zakri berkata, ia perlu dilaksanakan di saat negara berdepan cabaran mengekang penularan wabak Covid-19.

Jelas beliau, rakyat Malaysia tidak boleh hanya mengharapkan usaha kerajaan sebaliknya ia juga perlu datang daripada mereka.

Zakri Abdul Hamid
Zakri Abdul Hamid

“Saya fikir idea mengumpulkan dana dalam kalangan persatuan alumni adalah tepat dan perlu disegerakan.

“Tanggungjawab pentadbiran sekolah perlu diringankan. Proses pengajaran dan pembelajaran perlu dilancarkan.

“Sebelum ini sekolah dibekalkan dengan termometer digital yang digunakan secara manual tetapi dengan pengimbas suhu inframerah ia akan mendapat bacaan suhu yang lebih tepat.

“Jika pengambilan suhu dilaksanakan secara manual, ia akan menyebabkan kesesakan dan tidak berlaku penjarakkan sosial antara pelajar,” katanya.

Justeru, beliau melahirkan keyakinan bahawa rakyat Malaysia sedia menghulurkan sumbangan demi kebaikan anak-anak di sekolah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus