Kerajaan pertingkat liputan jalur lebar kawasan luar bandar

Mustapa (tengah) bergambar bersama wakil-wakil agensi dan peserta Empower ECER yang hadir di Pondok Moden hari ini.
Mustapa (tengah) bergambar bersama wakil-wakil agensi dan peserta Empower ECER yang hadir di Pondok Moden hari ini.
A
A
A

JELI - Kerajaan akan mempertingkatkan liputan jalur lebar di kawasan luar bandar bagi menyokong perniagaan digital yang semakin mendapat tempat pasca koronavirus (Covid-19).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya juga akan mengadakan pemantauan berterusan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat sepenuhnya untuk merancakkan lagi ekonomi setempat.

"Dalam pasca Covid-19 ini, banyak yang berubah. Dulu perniagaan dalam talian memang digalakkan kerajaan tapi aktiviti tersebut kini menjadi lebih banyak, selepas penularan Covid-19, ia sudah menjadi kaedah baharu perniagaan masa kini.

"Perniagaan biasa di premis masih relevan namun jumlahnya semakin berkurangan dan ramai lagi usahawan yang masih terkesan. Maka perniagaan digital inilah akan membantu mengubah keadaan menjadi lebih baik," katanya kepada pemberita ketika hadir sempena Program Menjana Ekonomi Digital @ Jeli di Pondok Moden, Bukit Bunga di sini hari ini.

Program tersebut turut dihadiri 79 peserta Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kerajaan menggerakkan jentera khusus untuk pelan pendigitalan berikutan isu liputan jalur lebar masih menjadi satu cabaran.

"Pagi tadi, kesemua agensi yang hadir hari ini telah mengadakan pertemuan dengan 10 pengurus pusat internet.

"Kita mendapat maklum balas daripada mereka antaranya liputan internet daripada syarikat telekomunikasi yang kurang memuaskan menyebabkan sukar usahawan untuk memasarkan produk mereka ke dalam platform e-dagang.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga dimaklumkan bahawa usahawan-usahawan ini kebanyakannya hanya menggunakan Facebook, Instagram dan WhatsApp sahaja untuk memasarkan produk mereka," katanya.

Beliau berkata, untuk memastikan platform e-dagang lebih meluas, ECER turut bekerjasama dengan pengendali aplikasi seperti OdaMakan untuk membantu usahawan menggunakan platform berkenaan.

Katanya, ia merupakan program pertama untuk memastikan usahawan di peringkat akar umbi khususnya terlibat dalam ekonomi digital.

"Selepas ini, usahawan-usahawan boleh merujuk kepada pusat internet di kawasan masing-masing untuk mendapatkan khidmat nasihat dan meluaskan perniagaan mereka melalui pendigitalan," katanya.