PH sendiri 'bunuh diri' bukan UMNO, BN guling, kata Khairy

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah merancang untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Memetik laporan BH Online, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya tertubuh selepas PH 'membunuh diri', susulan pergelutan dalaman antara parti dalam gabungan itu.

Menurutnya, apabila kerajaan PH terbubar dengan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan beberapa pemimpin PH keluar daripada gabungan itu, pilihan yang ada hanyalah mengadakan Pilihan Raya Umum atau pihak yang ada majoriti menubuhkan kerajaan.

"Kami tak gulingkan sesiapa, sebaliknya fokus menjadi pembangkang. Namun, peluang muncul sendiri selepas PH 'membunuh diri' dan ketika itu negara memerlukan sebuah kerajaan tertubuh, selaras Perlembagaan Persekutuan.

"Pihak Tan Sri Muhyiddin Yassin tawarkan kepada UMNO dan BN untuk tubuhkan kerajaan, dan kita tiada masalah dengan beliau yang pernah menjadi Timbalan Presiden UMNO. Beliau (Muhyiddin) berjaya dapatkan majoriti dan buktikan kepada Yang di-Pertuan Agong, yang kemudian berkenan supaya (PN) menubuhkan kerajaan.

"Memang ketika PRU14, mandat rakyat kepada PH tetapi kerajaan itu sudah tiada. Apabila sudah tiada, pilihannya sama ada diadakan PRU atau pihak yang ada majoriti menubuhkan kerajaan," katanya dalam temu bual bersama BH dan NST baru-baru ini.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Rembau itu turut ditanya mengenai 'Langkah Sheraton' pada hujung Februari lalu serta sama ada beliau bersetuju dengan usaha PN merampas kuasa daripada PH untuk menubuhkan kerajaan.

Khairy mengakui ada pertemuan antara pemimpin UMNO dengan pemimpin parti lain sebelum itu, namun ia bukan bagi merancang rampasan kuasa, sebaliknya berbincang mengenai kebimbangan masyarakat yang wujud ketika PH memerintah.

Artikel Berkaitan:

"Perbincangan itu biasa dalam politik. Bila orang nak jumpa bincang kebimbangan masyarakat bumiputera dan Melayu pada zaman pemerintahan PH, sebab itu wujud Muafakat Nasional.

"Kita juga bincang soal keresahan dalam isu seperti ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), soal pemotongan bantuan terhadap rakyat di bawah Lim Guan Eng dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada tidak timbul kekhuatiran dalam kalangan ahli UMNO untuk bekerjasama dengan pemimpin yang dilabel 'pengkhianat', Khairy menegaskan semua parti dalam PN perlu bersangka baik sesama mereka dalam keadaan sekarang.

"UMNO cukup berdisiplin dan matang untuk tidak bergaduh di khalayak umum. Kerjasama dengan rakan dalam PN ini kita ambil selangkah demi selangkah," katanya.