APSF batalkan Sukan Para ASEAN 2020 Filipina

Osoth Bhavilai
Osoth Bhavilai
A
A
A

PERSEKUTUAN Sukan Para ASEAN (APSF) secara rasmi membatalkan temasya Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina pada Oktober berikutan pandemik Covid-19 sebaliknya memberi tumpuan kepada penganjuran edisi 2021 di Vietnam.

Keputusan itu dicapai selepas APSF mengadakan mesyuarat Lembaga Pengelola menerusi persidangan video pada Jumaat lepas dan dipengerusikan presiden Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Filipina, Michael Barredo dan disertai semua 10 presiden Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan anggota ASEAN yang lain.

"Majlis Pengelola menyokong pembatalan itu selepas menerima surat rasmi yang mengesahkan mengenai perkara itu daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) bertarikh 8 Jun, 2020," kata presiden APSF Mejar Jeneral Osoth Bhavilai dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, surat yang ditandatangani setiausaha Lembaga Suruhanjaya Sukan Filipina, IV Julia C Llanto, yang meluluskan secara rasmi pembatalan edisi ke-10 temasya sukan untuk atlet kelainan upaya rantau ini bagi melindungi dan menjaga keselamatan semua atlet dan jurulatih dari dalam dan luar negara, termasuk tenaga kerja, peserta dan tetamu, di samping membantu kerajaan Filipina membendung penyebaran Covid-19.

Bhavilai berkata, Lembaga berkenaan turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Filipina dan jawatankuasa penganjur (PHILAPGOC) di atas segala usaha untuk menganjurkan temasya sukan berkenaan, termasuk penyediaan sekretariat, dana, venue, logistik, tenaga kerja dan lain-lain keperluan teknikal.

Beliau menegaskan bahawa fokus utama sekarang adalah untuk memastikan kelancaran Sukan Para ASEAN ke-11 di Hanoi, Vietnam pada Disember 2021 dengan melaksanakan persiapan dan koordinasi awal.

Vietnam akan menjadi tuan rumah Sukan Para ASEAN untuk kali kedua selepas menjadi tuan rumah edisi kedua temasya sukan berkenaan 18 tahun lepas pada 2003, dengan hanya lima acara dipertandingkan ketika itu.

Bhavilai, yang juga setiausaha agung Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Thailand, berkata Lembaga Pengelola APSF akan mengadakan mesyuarat awal pada Disember ini untuk membincang dan menyelaras penganjuran edisi 2021 bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Vietnam dan pemegang taruh yang lain.

Artikel Berkaitan: