Kelab Wanita Ikon Malaysia bantu 1,700 keluarga

Penerima bersyukur dengan sumbangan yang diterima daripada Kelab Wanita Ikon Malaysia, IKHLAS dan Mahsuri Food Sdn Bhd.
Penerima bersyukur dengan sumbangan yang diterima daripada Kelab Wanita Ikon Malaysia, IKHLAS dan Mahsuri Food Sdn Bhd.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelab Wanita Ikon Malaysia meneruskan kecaknaannya menghulurkan bantuan bekalan makanan kepada 1,700 keluarga yang terjejas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Presidennya, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata, pihaknya diberi kepercayaan oleh IKHLAS, jenama baharu di bawah AirAsia.com untuk menghulurkan sumbangan kepada kumpulan yang memerlukan di Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menurutnya, fasa pertama dilaksanakan Ramadan lalu melibatkan empat negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Johor yang membabitkan sebanyak 1,100 pek makanan diagihkan kepada 1,100 keluarga.

“Usaha yang sama diteruskan untuk fasa kedua, ‘Derma Dengan Ikhlas’ dan Kelab Wanita Ikon Malaysia kali ini telah bekerjasama dengan Syarikat Mahsuri Food Sdn Bhd meneruskan sumbangan di tiga negeri lain.

“Sumbangan terbaharu di tiga negeri iaitu di Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula 12 Jun dan berakhir hari ini melibatkan seramai 600 lagi penerima,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada penerima untuk negeri Kelantan di sebuah hotel dan turut menziarahi lima keluarga terpilih.

Normaziah (kiri) bersama Ikhlas dan Mohd Jazri melawat seorang penerima yang terlantar di Kota Bharu.
Normaziah (kiri) bersama Ikhlas dan Mohd Jazri melawat seorang penerima yang terlantar di Kota Bharu.

Turut hadir, Ketua IKHLAS, Ikhlas Kamarudin dan Pengurus Komersial Mahsuri Food Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ikhlas berkata, menerusi pelaksanaan kempen ‘Derma Dengan Ikhlas’ berjaya mengutip lebih RM1.2 juta dan meskipun Ramadan sudah berakhir, pihaknya masih menjalankan aktiviti menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf dan memerlukan.

“Kami amat berbesar hati atas sumbangan dan sokongan daripada Mahsuri Food Sdn Bhd dan juga melalui kerjasama dengan Kelab Wanita Ikon Malaysia. Dana yang ada telah digunakan untuk mengagihkan barang keperluan asas kepada golongan memerlukan bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Jazri berkata, menerusi program itu bukan sahaja membantu orang ramai dengan pemberian barangan keperluan asas, malah pembelian barangan asas dari kedai runcit tempatan juga diharap dapat membantu industri perniagaan runcit tempatan.

Bagi penerima, Noriha Mohamed, 44, yang juga ibu tunggal, dia sangat berterima kasih dengan sumbangan diberikan kerana ia dapat membantu meringankan bebannya yang bekerja sebagai seorang tukang cuci.