X

Kindly register in order to view this article
!

PRK DUN Chini: Mohd Sharim Md Zain dipilih calon BN

Mohd Sharim (tengah) pada Majlis pengumuman calon PRK Dun Chini di Bangunan UMNO Pekan di sini sebentar tadi.
A
A

PEKAN - [DIKEMASKINI] Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan, Mohd Sharim Md Zain diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, 4 Julai nanti.

Pengerusi Barisan Nasional Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemilihan Mohd Sharim dibuat selepas perbincangan dan perundingan berdasarkan beberapa senarai pendek calon yang dikemukakan kepadanya.

Menurutnya, Mohd Sharim selaku generasi kedua peneroka Felda dipilih kerana keperibadiannya disenangi dan disukai masyarakat DUN tersebut.

"Saya telah memberikan mandat kepada Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai individu yang pernah menjadi pemimpin nombor satu negara. Ia adalah sebagai tanda hormat dan kepercayaan saya terhadapnya.

"Saya yakin beliau amat tahu susur galur perjalanan di Chini serta memahami hasrat anak muda yang mahukan suara mereka didengari di Sidang DUN nanti," katanya pada sidang akhbar pengumuman calon PRK Dun Chini di Bangunan UMNO Pekan di sini sebentar tadi.

Wan Rosdy berkata, pemilihan itu juga dibuat selepas mengambil kira jumlah pengundi berusia 40 tahun dan ke bawah bagi DUN Chini melebihi separuh iaitu 56.97 peratus.

Mohd Sharim, 41, lahir di Kedah merupakan Pengarah Urusan Akar Budi Sdn Bhd.

Bapa kepada lima anak ini merupakan Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan dan Naib Presiden Majlis Belia Negeri Pahang.

Beliau pernah bekerja rapat dengan penyandang terdahulu, Allahyarham Datuk Abu Bakar Harun sebagai Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri Pahang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!