KLFA hantar dokumen pelanjutan sewaan stadium hujung Jun

No Image Caption
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) akan menghantar kertas kerja berhubung pelanjutan tempoh sewaan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada akhir bulan ini.

Setiausaha Kehormat KLFA, Nokman Mustaffa berkata, tempoh sewaan stadium berkenaan adalah 15 tahun dan ia akan diperbaharui selepas tempoh berkenaan tamat pada Januari 2021.

"Kita sedang menyiapkan kertas kerja berhubung kontrak sewaan dengan DBKL pada akhir bulan ini, namun saya agak kesal dengan kegagalan beberapa ahli gabungan serta kelab amatur menyelesaikan bayaran penyelenggaraan seperti bil air dan elektrik sehingga membebankan kewangan kita.

"Sehubungan itu, kita tidak akan membenarkan mana-mana ahli gabungan atau kelab amatur sekitar Lembah Klang untuk menggunakan Stadium Cheras, sekiranya mereka gagal menjelaskan yuran penyelenggaraan berkenaan selepas ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Nokman memaklumkan pihaknya sedang menyiapkan dokumen berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang akan dihantar kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada minggu ini bagi membolehkan skuad warga kota meneruskan latihan di padang terbuka.

Beliau berkata, KLFA memilih Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras sebagai venue tertutup bagi memenuhi salah satu kriteria SOP yang ditetapkan MFL.

“Kita akan menyerahkan dokumen SOP berkenaan kepada MFL pada minggu ini dan saya berharap pasukan Kuala Lumpur boleh memulakan latihan seawal minggu depan sekiranya permohonan kita diluluskan oleh MFL,” jelas Nokman.

Dua perkara utama dalam pematuhan SOP digariskan MFL adalah setiap pasukan perlu menyerahkan ujian swab yang telah disahkan oleh doktor pasukan kepada MFL, selain melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP di peringkat pasukan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pasukan wajib menamakan pusat latihan yang diadakan di kawasan tertutup dan venue latihan perlu didaftarkan melalui pautan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) notification.miti.gov.my. - Bernama